utama

Rugi RM16,000 apartmen dipecah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

“SAYA sedar apartmen dipecah masuk selepas pulang dari tempat kerja apabila melihat pintu terbuka. Sebaik masuk ke dalam bilik utama saya melihat keadaan berselerak,” kata lelaki hanya mahu dikenali sebagai Hafizul, 30.

Dalam kejadian Jumaat lalu, kediamannya di Setapak di sini, dipecah masuk dua lelaki yang melarikan wang tunai, kepingan emas dan kereta Perodua Myvi menyebabkan kerugian dianggarkan RM16,000.

Hafizul berkata, dia ke tempat kerja sekitar jam 7.40 pagi dengan menunggang motosikal dan meninggalkan apartmen di tingkat tujuh itu dalam keadaan berkunci.

“Sebaik pulang jam 8.45 malam, saya terkejut melihat pintu terbuka.

“Sebaik masuk ke dalam, saya terus memeriksa sebelum mendapati wang tunai, kunci kereta, kunci rumah, kepingan emas seberat 30 gram dan kad akses apartmen hilang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, dia kemudian memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati keretanya dilarikan suspek jam 4.30 petang.

“Saya terus membuat laporan di Balai Polis Setapak.

“Saya juga mengucapkan terima kasih dan bersyukur kerana tindakan pantas polis menahan mereka (penjenayah) dan menemui semula kereta saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, suspek berusia 29 dan 37 tahun melarikan wang syiling RM800, wang tunai RM300, kunci rumah, kepingan emas, kunci kereta, kad akses dan sebuah kereta.

“Susulan laporan, usaha mengesan dijalankan dan suspek pertama ditahan jam 9.15 pagi semalam (kelmarin) oleh anggota Balai Polis Serdang di tepi jalan Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan.

“Suspek kedua ditahan pegawai polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wang Maju jam 5 petang di Jalan Banting Pandamaran,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek pertama memiliki empat rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, mendatangkan kecederaan parah dan dua kes dadah.

“Suspek kedua pula memiliki lima rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan, samun dan dadah.

“Mereka direman empat hari bermula hari ini (semalam) mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 kanun sama,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 6:00am
d