utama

Abang bunuh adik...

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

PERGADUHAN dua beradik lelaki berakhir tragedi apabila adik maut dipercayai akibat dipukul abangnya di hadapan kedai makan di Pengkalan Bharu, Pantai Remis, Manjung, semalam.

Dalam kejadian 11.40 malam itu, mangsa, Hussain Mai Din, 35, meninggal dunia lokasi kejadian dengan kesan tetakan objek tajam di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian sebelum bergegas ke lokasi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai terdengar suspek berusia 37 tahun bercakap kasar dengan ibu mereka.

“Ibu mangsa yang juga saksi kejadian mendakwa kejadian itu berpunca apabila suspek bertengkar dengannya mengenai bil elektrik kedai makan yang tertunggak.

“Mangsa yang terdengar percakapan kasar si abang terhadap ibu terus datang dan memukul lelaki berkenaan yang ketika itu sedang mengemas dapur kedai makan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Hanif berkata, akibatnya, dua beradik itu bergaduh sehingga ke bahagian luar kedai sebelum mangsa ditemui terbaring dalam keadaan kepalanya berlumuran darah.

Menurutnya, ketika cuba meleraikan pergaduhan itu, ibu mangsa juga mengalami kecederaan dan menerima rawatan di klinik kesihatan, manakala suspek juga turut cedera.

“Ketika anggota tiba, mangsa masih berada dalam keadaan separuh sedar dan terbaring di lantai kaki lima kedai. Namun tidak lama selepas itu pemeriksaan yang dijalankan pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Polis menemui kesan kecederaan di kepala mangsa dipercayai kesan tetakan atau tikaman senjata tajam dan abang mangsa juga sudah ditahan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun ( HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat.

Menurutnya, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 1:29pm
d