utama

Zahir kami merinduimu nak... [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

“SAYA berjalan tujuh kilometer di pesisiran Sungai Semenyih tidak jauh dari rumah selain bermalam di gunung beberapa hari demi mencari Zahir (nama panggilan anak) tetapi tiada petunjuk ditemui sehingga kini,” kata Mohd Fauzi Abdul Ghaffar, 45.

Mohd Fauzi adalah bapa Muhammad Zahiruddin Putra, 8, atau lebih mesra dipanggil Zahir yang dilaporkan hilang selepas keluar bermain bersama rakan 15 April lalu.

Meskipun sudah hampir empat bulan Zahir hilang, Mohd Fauzi tidak pernah berputus asa sebaliknya terus berusaha menjejaki anak kelima hasil perkahwinannya dengan bekas isteri, Sainih Sumbing, 46.

Bercerita lanjut, Mohd Fauzi berkata, selain mencari di sekitar kawasan perumahan dengan berjalan kaki dan menaiki motosikal, dia turut mencetak risalah dan mengedarkannya di tempat tumpuan ramai termasuk pasar malam yang menjadi tempatnya mencari rezeki.

“Sejak Zahir hilang, saya tidak pernah berhenti mencarinya dan pelbagai usaha dilakukan termasuk mendapatkan bantuan daripada pengamal perubatan tradisional.

“Malah saya pernah ke Muar, Johor dengan ditemani rakan semata-mata untuk mencarinya dan mengedar risalah mengandungi maklumat berkaitan Zahir tetapi usaha itu belum berhasil.

“Namun saya tidak akan berputus asa dan kini, saya teruskan usaha mencari dengan menampal serta mengedar risalah di pasar malam Bandar Seri Putra tempat saya berniaga minyak wangi selain tempat tumpuan ramai termasuk dinding dan pokok yang dibenarkan.

“Ikutkan, saya tidak boleh bekerja kerana sakit tulang belakang tetapi nekad mengambil peluang berniaga di pasar malam selepas ditawarkan demi mencari Zahir,” katanya ditemui di rumahnya di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra hari ini.

Berkongsi pengalaman sejak kehilangan Zahir, Mohd Fauzi mengakui pernah mimpi bertemu selain mendengar panggilan dan gelak tawa anaknya itu ketika bersendirian.

Menurutnya, pengalaman sama turut dilalui anak sulung Shazlynna, 17, dan kedua, Dayang, 15, sejak ketiadaan Zahir.

“Ada masanya iaitu pada malam, saya terdengar Zahir memanggil abah (gelaran anak untuknya) selain mendengar gelak tawanya tetapi sekadar suara saja.

“Pernah juga saya mimpikannya tetapi saya anggap apa yang berlaku sekadar mainan perasaan mungkin kerana terlalu rindukannya.

“Firasat saya mengatakan Zahir masih hidup dan lebih menguatkan andaian saya adalah kerana tiada bukti yang menunjukkan dia sudah tiada.

“Kalau benar sudah tiada, mana jasadnya? Malah 70 peratus maklumat diterima hasil carian saya mendapati ada kemungkinan Zahir berada di alam ghaib manakala 30 peratus lagi menunjukkan kemungkinan dia diculik serta dibawa lari ke Siam,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, bukan saja dia sekeluarga tetapi guru sekolah turut merasai kehilangan anaknya.

“Zahir peramah, suka tegur orang dan suka tergelak jadi ketiadaannya meninggalkan kesan buat saya terutama seminggu sebelum Aidilfitri.

“Paling merisaukan saya jika dia diseksa dan mereka yang ada maklumat diharap hubungi saya segera,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 9:45pm
d