utama

Tok molek wat gitu...

Oleh Nor Amalina Alias

ORANG ramai dilihat mengutip susu dari treler yang terbalik di simpang tiga Kampung Tawang di Bachok, pagi hari ini.

Dalam kejadian 2 pagi itu, treler muatan susu yang dalam perjalanan menghantar bekalan sekitar Bachok berkenaan terbalik menyebabkan ribuan stok susu bertaburan di atas jalan.

Susulan itu satu rakaman video berdurasi 34 saat yang memaparkan beberapa penduduk kampung mengutip susu tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp yang sehingga kini mendapat lebih 34,000 tontonan.

Dalam kejadian itu, pemandu dan kelindan hanya mengalami cedera ringan.

Tindakan orang ramai mengutip susu yang bertaburan itu mendapat perhatian warganet dan setakat ini belum dapat dipastikan perbuatan mereka mendapat keizinan pemilik syarikat susu berkenaan atau tidak.

Hasil maklum balas di laman media sosial mendapati ada penduduk yang memaklumkan perbuatan mereka dibenarkan pemilik dengan pemandu lori sendiri menolong mengagihkan susu yang kemek dan bertaburan melalui gambar yang dikongsi di bahagian komen.

Ada juga melalui perkongsian seorang lelaki di laman Facebook bernama ‘Ryu Kusanagi’ mendakwa pemilik menghalang orang ramai mengutip susu berkenaan namun tidak diendahkan penduduk kampung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah ketika dihubungi berkata, setakat ini tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian.

Beliau meminta kepada pemilik syarikat untuk membuat laporan segera bagi memudahkan siasatan polis dijalankan.

“Berkenaan perbuatan orang ramai mengutip susu itu, kami tidak dapat pastikan kerana ada penduduk mendakwa diberi kebenaran oleh pemilik sendiri.

“Bagaimanapun jika sebaliknya, pemilik perlu tampil menjelaskan perkara sebenar dan saya nasihatkan sebaiknya buat laporan polis segera berhubung kemalangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 5:36pm
d