utama

Menangis semahu-mahunya

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

“IBU tinggalkan Naufal,” itulah ayat pertama terlontar dari mulut anak yang masih kecil membuatkan Nurazizah Mahmud, sayu sehingga menitiskan air mata.

Kisah suri rumah berusia 36 tahun itu yang tertinggal anak lelakinya berusia tiga tahun di R&R Ayer Keroh, arah selatan tular sejak malam kelmarin sebelum ditemui semula selepas tiga jam.

Kanak-kanak terbabit sebelum itu diserahkan orang awam kepada polis yang kemudian membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah .

Menurut Nurazizah, kejadian yang menimpa anak keenamnya itu, Muhammad Naufal Nawawi benar-benar meninggalkan kesan besar buat dirinya apatah lagi hanya disedari tiga jam kemudian selepas meninggalkan kanak-kanak itu sejauh hampir 30 kilometer di lebuh raya.

“Selama ini apabila terbaca kisah ibu bapa terlupa anak atau ahli keluarga yang dibawa ke mana-mana saya tertanya-tanya apakah sebabnya boleh terjadi begitu.

“Namun, apabila berdepan sendiri kejadian sama, barulah saya sedar semuanya tidak mustahil dengan izin Allah untuk menguji nikmat diberi kepada hambaNya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ayer Molek, Melaka semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam kelmarin, Nurazizah dan suaminya, Nawawi Md Salleh, 38, bersama tujuh anak mereka berusia antara 11 bulan hingga 13 tahun singgah R&R Ayer Keroh, arah selatan untuk makan dan menunaikan solat Maghrib.

Mereka ketika itu sedang perjalanan pulang ke rumah di Melaka selepas menikmati lemang di Bentong, Pahang.

Bagaimanapun, selepas selesai makan dan solat, mereka meneruskan perjalanan seperti biasa tanpa menyedari Muhammad Naufal yang juga anak keenam tertinggal di dalam gelongsor tertutup taman permainan di R&R berkenaan.

Ketiadaan anaknya itu hanya disedari selepas mereka tiba di rumah kira-kira hampir 10 malam sebelum suaminya meminta pertolongan rakan yang kemudian berjaya mengesan Muhammad Naufal yang diserahkan orang awam dan berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Mengulas lanjut, Nurazizah berkata, dia berharap masyarakat tidak terus menyalahkannya dan suami kerana semua yang berlaku bersebab izin Allah.

“Bila perkara yang kita tahu mustahil untuk kita lupa tetapi akhirnya berlaku, bayangkanlah betapa besarnya kuasa Allah mahu menguji.

“Ketika saya sedar anak tiada dalam kereta tiga jam kemudian dan ditinggalkan berpuluh-puluh kilometer di lebuh raya, nyawa saya rasa bagai disentap, kebas dan lembik satu badan,” katanya menahan sebak.

Menurut wanita itu, sebaik sahaja diberitahu Muhammad Naufal dalam keadaan selamat, hatinya berasa nikmat kesyukuran yang amat sukar digambarkan.

“Lebih mengharukan apabila saya tiba di IPD Alor Gajah sekitar 11.15 malam, anak saya terus menangis dan melontarkan kata; ‘Ibu tinggal Naufal’ membuatkan hati saya sayu dan menangis semahu-mahunya.

“Terima kasih kepada masyarakat, pekerja PLUS dan khususnya anggota polis IPD Alor Gajah yang tolong menjaga anak saya dengan baik.

“Insya-Allah saya akan turun semula ke IPD Alor Gajah dan R&R minggu ini untuk bertemu dengan mereka yang sama-sama menjaga anak saya,” katanya.

Berita berkaitan

'Tiga jam saya hilang nyawa'

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 8:08pm
d