utama

Demimu suamiku...

Oleh Redzuan Muharam

“SAYA pernah hidup senang bersama suami, jadi mana mungkin saya meninggalkannya dalam keadaan susah,” kata Liana Ahmad.

Liana, 39, adalah ibu kepada empat anak yang mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga sejak suaminya, Mohamed Farul Reza Mohamed, 41, disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) akibat masalah penglihatan, pendengaran, buah pinggang dan kencing manis.

Liana tabah menghadapi ujian itu dan kini menyara keluarga dengan menjual char kuetiau di hadapan rumahnya di Taman Malcop, Ipoh, Perak.

“Ketika sihat, suami bekerja sebagai jurutera di syarikat perisian komputer di Pulau Pinang dan kami sekeluarga berpindah ke Ipoh selepas dia ditawarkan menjadi pensyarah di Kolej Antarabangsa TAJ, Ipoh.

“Namun, suami hanya sempat bertugas di kolej berkenaan selama empat bulan saja dan terpaksa berhenti kerana diserang angin ahmar (strok) pada bahagian otak kanan serta kiri.

“Setahun kemudian, suami diduga pula dengan masalah penglihatan apabila matanya menjadi kabur dan masalah buah pinggang memaksanya menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Liana berkata, kehidupannya banyak berubah selepas Mohamed Farul terlantar sakit dan dia tiada pilihan kecuali membiasakan diri dengan keadaan itu.

Katanya, jika dulu dia hanya suri rumah yang menguruskan keluarga, tetapi kini memikul bertanggungjawab mencari rezeki demi menampung keperluan keluarga dan perbelanjaan tiga anak masih bersekolah.

“Pada mulanya, saya dan suami bersama-sama menjual nasi bajet dengan harga RM3 dan perniagaan itu mendapat sambutan.

“Namun, persaingan semakin sengit dan suami pula tidak seperti dulu, jadi keadaan itu membuatkan saya memikirkan alternatif lain dengan menjual char kuetiau walaupun pendapatan diperoleh tidak menentu.

“Rutin harian saya bermula dengan menguruskan suami dan melakukan kerja rumah sebelum mula berniaga pada 6 petang. Alhamdulillah, saya tidak berseorangan, sebaliknya dibantu anak-anak,” katanya.

Liana berkata, sekalipun diduga dengan ujian itu, dia bersyukur kerana anaknya tidak mengeluh jauh sekali meminta sesuatu di luar kemampuannya.

Katanya, penerimaan dan sokongan anak sudah cukup untuk memberinya semangat dalam menguruskan keluarga terutama suami yang memerlukan penjagaan rapi.

“Untuk sihat semula seperti dulu agak mustahil kerana bukan saja deria penglihatan dan pendengarannya bermasalah, malah penyakit suami turut membabitkan organ badan lain.

“Jadi, kami sentiasa berusaha memberinya semangat dan berdoa supaya dia kuat melawan penyakit.

“Walaupun komitmen terhadap keluarga menyebabkan saya tiada masa untuk diri sendiri, tetapi inilah dinamakan pengorbanan sebagai isteri dan ibu,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0800741000032089 atas nama Mohamed Farul Reza Mohamed.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 9:29pm
d