utama

Harimau Selatan mula mengaum

Oleh Firdaus Hashim

JUARA bertahan Piala Malaysia, Perak bakal berdepan cabaran getir untuk mempertahankan kejuaraan dimenangi musim lalu apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) mula meniupkan ‘semboyan perjuangan’ untuk mencabar trofi berprestij itu.

Menerusi video yang dimuat naik Johor Southern Tigers (JST) semalam, pemilik kelab Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu juara Liga Super enam kali berturut-turut itu menambah koleksi kejuaraan dengan memburu trofi kedua musim ini.

“Latihan berjalan lancar saya harap pemain sentiasa yakin pada diri sendiri. Musim ini berjalan dengan baik dan kita berjaya mencipta sejarah, tapi masih ada lagi yang perlu dicapai. Kadang-kadang susah juga pasal ialah, apabila kita juara dan letak sasaran awal untuk menang Liga Super ‘double hatrik’ dan ke ACL (Liga Juara-Juara Asia) kita dah capai.

“Sekarang masa menolak pemain untuk mengorak langkah lebih jauh ke depan dan ia agak mencabar. Tapi, kalau kita semua beri sepenuh hati dan fokus, insya-Allah kita boleh lakukan,” katanya dengan JDT yang diletakkan dalam Kumpulan B akan berdepan UiTM FC di Larkin malam esok.

Jelas Tunku Ismail, bukan mudah baginya untuk menaikkan motivasi dan semangat pemain menjelang sepak mula saingan Piala Malaysia yang sentiasa berlangsung dengan penuh kejutan.

“Tapi, sekarang saya kena beri motivasi dan semangat kepada pemain, yang susahnya saya dah beri kata-kata (perangsang) sejak pramusim lagi.

“Jadi, selepas kita dah capai kita punya matlamat untuk (Liga Super) tapi ada lagi satu piala... bukan mudah tapi ia tidak mustahil. Insya-Allah boleh, tapi kita tengok macam mana ia berjalan, apa-apa pun musim ini fantastik, dan saya suka musim ini, kita berjaya melakar sejarah dan sekarang ada satu (Piala Malaysia),” kata Tunku Ismail.

Kali terakhir JDT menjulang Piala Malaysia pada 2017 selepas menewaskan Kedah 2-0 di perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 4:30am
d