utama

Persembahan paling bermakna

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PETIKAN gitar di hadapan 85,000 penyokong bola sepak sempena final Shoppe Piala FA di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu lalu menjadi detik istimewa buat gitaris Man Kidal atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Mahmood, 56.

Bekas anggota kumpulan Lefthanded itu berasakan ia sejarah paling bermakna sepanjang 35 tahun menjadi anak seni apabila membawakan muzik lagu Negaraku dan lagu rasmi Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Sepanjang karier, saya hanya menjayakan konsert yang mempersembahkan lagu biasa tetapi kali ini ada kelainan apabila membawakan lagu kebangsaan.

“Saya amat gemuruh dan ia tugas yang berat sambil diperhatikan 85,000 peminat bola sepak,” katanya kepada Rap.

Dalam suasana ramai penonton termasuk tetamu diraja, pemimpin negara, Man Kidal berasakan pengalaman itu sangat mencabar.

“Saya mengalunkan petikan gitar dengan penuh berhati-hati dan teliti. Lebih penting, saya perlu menjaga tempo kerana muzik lagu Negaraku dinyanyikan oleh 85,000 penonton,” katanya.

Anak jati Skudai, Johor itu berkata, dia perlu memastikan lagu itu dapat dinyanyikan sempurna dan tidak mengganggu jiwa penonton yang bersemangat.

Berdasarkan pengalaman, Man Kidal pernah mengadakan konsert bersama Lefthanded di Stadium Sultan Muhammed IV di Kelantan dan Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang.

“Namun, ia bukan persembahan untuk bola sepak tetapi menjayakan konsert Lefthanded yang dihadiri ribuan peminat. Kali ini saya diberi peluang mendendangkan lagu Negaraku dengan jumlah penonton yang sangat ramai,” katanya.

Man Kidal menzahirkan penghargaan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL yang memberi peluang kepadanya beraksi dalam majlis pembukaan perlawanan akhir itu.

“Saya terima undangan ini dua minggu sebelum perlawanan dan buat persediaan rapi. Jemputan ini satu penghargaan yang mewakili seluruh pemuzik negara ini,” katanya.

Kata Man Kidal, lebih manis ia lagu patriotik negara sekali gus menaikkan semangat kecintaannya buat Malaysia.

Ditanya mengenai pasukan pilihan, Man Kidal berkata dia menyokong Kedah sejak awal.

“Saya tiada tekaan berapa gol cuma menjangkakan Kedah akan menang. Bagaimanapun, Perak beraksi baik cuma nasib tidak menyebelahi mereka untuk menang,” katanya.

Menurutnya, dia berbangga apabila menjadi sebahagian individu yang menjayakan perlawanan akhir berkenaan dan berharap menerima undangan sama pada masa depan.

“Industri seni dan sukan adalah dua perkara berbeza namun apabila digabungkan ia menjadi sesuatu yang sangat luar biasa.

“Pengalaman ini unik, berharga dan sesuatu yang baharu buat saya biarpun sudah 35 tahun menjadi pemuzik," katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 5:00am
d