utama

'Semoga pesalah dapat pembalasan

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

SUASANA hiba menyelubungi Mahkamah Tinggi di sini, apabila bapa Allahyarham Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idros, 55, melakukan sujud syukur dan tidak dapat menahan air mata selepas mahkamah memerintahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membela diri dalam kes kematian anaknya, dua tahun lalu.

Zulkarnain dan isteri, Hawa Osman, 56, menangis sebaik keluar dari galeri awam selepas Hakim Datuk Azman Abdullah membacakan keputusannya.

Zulkarnain berkata, dia bersyukur dengan keputusan mahkamah.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana keputusan memihak kepada saya,” katanya.

Hawa pula berterima kasih atas kerjasama dan doa rakyat Malaysia dengan kejadian menimpa anaknya.

“Saya bersyukur doa kami dimakbulkan. Semoga pesalah mendapat pembalasan. Pemergiannya masih terasa. Setiap malam, saya terdengar suaranya. Bila hari raya terasa dia tak ada. Saya tak akan lupakan arwah,” katanya.

Pada prosiding itu, Azman memerintahkan 18 penuntut UPNM itu membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.

Dalam keputusannya, Azman memerintahkan lima tertuduh, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri membela diri atas tuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali juga diperintah membela diri atas tuduhan bersubahat membunuh mangsa.

Semua tertuduh yang berusia 23 tahun itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Keenam-enam tertuduh bersama 12 penuntut lain turut diarah membela diri atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya bagi mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Dua belas penuntut lain yang juga berusia 23 tahun ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany, dan Mohamad Syazwan Musa.

Bagi kejadian mencederakan mangsa pada 21 Mei 2017, tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan itu namun masih perlu membela diri bagi tuduhan mencederakan dalam kejadian 22 Mei 2017.

Hanya seorang tertuduh bebas mutlak iaitu Muhammad Akmal Akif Alias, 23, yang dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri bagi tuduhan mencederakan Zulfarhan pada 22 Mei 2017.

Mereka didakwa mengikut tuduhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim manakala antara peguam yang mewakili tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dillon, AG Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Mohd Fadly Hashim, Zambri Idrus dan Datuk Hazman Ahmad.

Perbicaraan kes yang bermula pada 29 Januari 2018 itu memanggil 29 saksi pendakwaan untuk memberikan keterangan.

Galeri awam mahkamah dipenuhi dengan keluarga mangsa dan tertuduh yang hadir seawal jam 7.30 pagi untuk mengikuti keputusan kes itu.

Nak sambung semula pengajian

Muhammad Akmal Akif Alias, 23, tertuduh tunggal yang dibebaskan secara mutlak daripada tuduhan mencederakan Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017 berhasrat menyambung pengajiannya yang tertangguh.

“Alhamdulillah, saya nak teruskan hasrat untuk meneruskan pengajian yang tertangguh selepas digantung kerana kes ini,” katanya sambil mengesat air mata.

Apabila ditanya lanjut sama ada dia sudah berjumpa dengan keluarga Zulfarhan, Muhammad Akmal Akif hanya menjawab “belum” sambil mengesat air matanya.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah melepas dan membebaskan Muhammad Akmal Akif tanpa dipanggil membela diri bagi tuduhan mencederakan Zulfarhan pada 22 Mei 2017.

Sebelum ini, 13 pelajar UPNM didakwa mengikut Seksyen 330, Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan.

Pada prosiding semalam, Azman memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 6:30am
d