utama

'Bangunlah Fawwaz...'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KANAK-KANAK lelaki berusia lima tahun yang parah dihempap peti ais di rumah keluarganya di Taman Cempaka, Nilai, pada 12 Julai lalu, tidak lagi mampu berdiri dan bertutur.

Keadaan Muhammad Fawwaz Adli itu dikongsi bapanya, Mohd Bukhari Zainal Annuar, 33, yang memaklumkan anaknya dibenarkan keluar wad, semalam selepas tiga minggu dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

Menurutnya, biarpun Muhammad Fawwaz dibenarkan keluar wad, keadaannya tidak seperti dulu apabila tidak boleh berdiri dan bertutur.

“Doktor memaklumkan ia kesan kecederaan dialami di bahagian kepala. Doktor beritahu keadaannya mungkin berlarutan untuk tempoh lama.

“Selain itu, anak saya memerlukan penjagaan rapi dan perlu makan menggunakan straw,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Mohd Bukhari berkata, Muhammad Fawwaz sudah menjalani pembedahan sebelum ini dan perlu mendapatkan rawatan susulan di HTJS selepas ini.

“Selain rawatan susulan, saya akan cuba mendapatkan rawatan perubatan Islam sebagai ikhtiar memulihkan anak saya itu,” katanya yang reda dan tabah menghadapi ujian berkenaan.

Harian Metro pada 14 Julai lalu melaporkan, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun parah selepas ditimpa peti ais, di rumah keluarga di Taman Cempaka, Nilai.

Dalam kejadian 11 malam itu, Muhammad Fawwaz mengalami kecederaan di kepala akibat dihempap bucu peti ais yang tumbang.

Berita berkaitan

'Kanak-kanak parah ditimpa peti ais'

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 12:07am
d