utama

Idam watak jahat

Oleh Ardini Sophia Sina

KETIKA pelakon Singapura, Shah Iskandar memutuskan untuk melebarkan sayap di Malaysia, niatnya hanya satu iaitu mengukir nama sebagai pelakon di sini. Kini impiannya itu sudah tercapai.

Pernah memenangi anugerah Pelakon TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2013 dan 2014, kini ramai mempersoalkan pilihan pelakon itu yang menerima watak sampingan sedangkan suatu ketika dulu dia antara tunjang utama dalam drama.

Menurut Shah, kini dia tidak lagi mengejar tawaran, tetapi hanya ingin menjalani kehidupan yang lebih gembira. Laluan kejayaan itu sudah berturap, kini dia ingin menjalani karier dengan lancar tanpa halangan.

“Saya tidak lagi gila-gila mengejar tawaran berlakon seperti dulu. Niat saya datang Malaysia adalah untuk mengukir nama. Apabila ia sudah tercapai, saya tanya diri saya. Apa lagi yang saya mahukan?

“Sekarang saya cuma inginkan kehidupan yang gembira tanpa sebarang masalah. Alhamdulillah, sejak saya semakin bersyukur dengan apa yang saya kecapi, semuanya berjalan lancar.

“Saya selalu fikir, apa yang kita inginkan itu perlu ikut nawaitu. Menang itu adalah bonus. Kalau pun sekarang hanya pegang watak sampingan, saya tidak kisah. Saya puas membawakan watak itu,” katanya.

Ketika segelintir individu mengatakan Shah membawakan watak ‘entah apa-apa’, Shah sama sekali tidak mengeluh. Malah, dia tidak berasakan watak sampingan itu menurunkan popularitinya. Shah berkata, dia sentiasa mengidamkan watak jahat kerana percaya boleh melakukannya.

Pilihan watak itu tidak hanya untuk meraih populariti semata-mata, tetapi untuk mencabar diri sendiri.

Sementara itu, ditanya mengenai gambar tidak berbaju dan berendam di tab mandi yang dimuat naik di Instagram baru-baru ini, Shah berkata, gambar itu diambil isterinya.

Katanya, apa saja yang dimuat naik di Instagram, dia akan berbincang dengan isterinya.

“Saya ada tanya dia, boleh ke muat naik gambar seperti itu sebab saya bimbang nanti orang kecam. Isteri saya okey asalkan gambar itu tidak mendedahkan aurat atau terlalu ‘daring’.

“Bagaimanapun, selepas saya muat naik gambar itu, ramai yang menghantar mesej ‘mengarut’

di Instagram dan itu membuatkan dia tidak puas hati.

“Saya biarkan dia jawab semua mesej yang dihantar kepada saya. Biarlah dia tapis mesej itu semua. Begitu juga dengan gambar. Saya hanya muat naik apabila dia setuju. Siapa yang tak sayang bini,” katanya tersenyum.

BARU ‘PANDAI’ NAK BUAT DUIT DI INSTAGRAM

Hanya selepas tiga tahun memiliki akaun Instagram, barulah Shah betul-betul menggunakannya bagi tujuan promosi hasil kerjanya.

Sebelum ini, dia ‘keras kepala’ dan beranggapan Instagram bukan medium untuk menjual diri. Namun, kini dia menerima perubahan itu dan menjadikannya sebagai tempat untuk mempromosikan hasil kerja.

“Bukan itu saja, saya juga tidak berminat untuk membuat ulasan produk di Instagram. Akhirnya isteri ‘brainwash’ saya dan barulah saya sedar ia juga boleh dijadikan peluang untuk menambah pendapatan.

“Bagaimanapun, saya hanya akan buat ulasan produk jika maklumat yang saya terima itu lengkap dan harus ada kaitan dengan kehidupan saya. Contohnya mempromosikan beras, ia mesti ada kaitan sama ada ia membantu untuk kurus. Jadi, saya boleh promosikannya dengan lebih efektif,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 5:30am
d