utama

Ee hero nenek

Oleh Ahmad Ismail

“SAYA bukan hero dan tidak perlukan pujian!,” ujar seorang pemuda, Ee Chee How, 22, yang menjadi wira masyarakat selepas membantu menyelamatkan warga emas berusia 92 tahun dalam kejadian kebakaran di Jalan Sia Her Yam di Kampung Abdullah.

Dalam kejadian jam 2.30 petang kelmarin, dia yang sedang menjalankan bancian kesihatan penduduk bagi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum menyedari dua rumah papan sederet itu terbakar.

“Saya lantas teringat pernah membanci seorang wanita berusia 92 tahun yang mengalami masalah pendengaran di salah sebuah rumah itu beberapa hari lalu.

“Ketika itu saya menjalankan bancian dan kajian bagi pihak South East Asia Community Observatory (SEACO) berhubung Penyakit Tidak Berjangkit (NCD),” katanya.

Menurutnya, dia kemudian bergegas memasuki kediaman yang dipenuhi asap tebal serta pintu yang tidak berkunci itu.

“Saya terkejut melihat nenek dikenali sebagai Tou duduk sambil tersedak akibat terhidu asap tebal.

“Saya kemudian segera mendukung warga emas itu dan meletakkannya di luar rumah.

“Beberapa orang awam menghubungi saudara-mara terdekat wanita itu serta pihak bomba dan penyelamat bagi membantu memadamkan kebakaran,” katanya.

Menurutnya, dia tidak impikan pujian kerana yakin semua rakyat negara ini akan melakukan perkara sama dilakukannya.

“Walaupun kedua-dua tapak tangan saya luka kerana terkena bahang api, saya berpuas hati kerana berjaya menyelamatkan mangsa,” katanya yang baru menerima tawaran mengikuti pengajian di peringkat ijazah dalam bidang perniagaan di salah sebuah universiti tempatan.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 5:30am
d