utama

Sikap kau pun macam binatang...

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

IBU anjing serta empat ekor anaknya berumur dua bulan bukan sahaja dipukul dengan kayu, malah dicekik dan dihempas ke tanah sehingga menyebabkan dua anak haiwan itu mati di Kampung Gombak Utara, Batu 11, Gombak, semalam.

Difahamkan, kejadian jam 10.30 pagi itu dilakukan lelaki berusia 30-an di belakang rumahnya disebabkan tidak suka anjing jalanan berkenaan.

Saksi yang juga jirannya cuba menghalang perbuatan itu namun tidak diendah lelaki terbabit.

Malah, permintaan jirannya untuk mengambil bangkai anjing itu juga dihalang lelaki itu.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, selepas mendapat maklumat pasukannya ke lokasi untuk bertemu dengan lelaki berkenaan.

Katanya, sebaik tiba lelaki itu tiada di rumah dan dipercayai menghilangkan diri mungkin disebabkan mengetahui penduduk kampung marah dengan perbuatannya.

“Bangkai dua ekor anak anjing itu dipercayai disorokkan di dalam rumah, manakala ibu anjing dan dua ekor anaknya itu masih ada di kampung berkenaan.

“Saya melihat anjing itu seperti ketakutan termasuk anaknya seperti menggigil apabila melihat kami ingin mendekatinya untuk memberi makan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, terdapat kecederaan di bahagian kepala ibu anjing terbabit dan di anggota badan anaknya namun tidak serius.

“Penduduk memberitahu, haiwan itu sudah lama berada di kampung itu dan diberi makan oleh penduduk.

“Anjing itu seperti penjaga kawasan namun lelaki itu tidak suka dengan anjing dan pernah melakukan perbuatan sama termasuk membakar bangkai anjing selepas membunuhnya,” katanya.

Arie Dwi berkata, pihaknya sudah membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Gombak, Selangor dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Putrajaya.

“Kita harapkan tindakan setimpal dapat dikenakan kepada pelaku supaya tidak mengulangi perbuatan itu,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 11:13am
d