utama

'Along masuk gelanggang'

Oleh Ferzalfie Fauzi

ADA antara pemain badminton yang ‘lari tak cukup tanah’ apabila ceti haram bertindak nekad mengejar mereka hingga ke gelanggang pertandingan.

Perkara itu didedahkan bekas pemain perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek yang berkata, ceti haram atau ‘Along’ tidak teragak-agak untuk menceroboh masuk ke gelanggang bagi menuntut hutang daripada pemain badminton.

“Kadang-kadang tengah main kejohanan dalam negara, pemain yang terbabit dengan Along ini terpaksa beraksi dalam ketakutan. Apakan tidak... Along sanggup tunggu mereka sehingga tamat perlawanan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Bagaimanapun, tidak semua usaha Along itu berjaya sebaliknya ada juga yang pulang hampa apabila pemain yang dicari itu memberi alasan tidak ada wang dan menyuruh mereka meminta daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Ada juga pemain yang mengharapkan wang kemenangan mereka dibayar cepat oleh BAM. Sebenarnya perkara ini bermula dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) lagi. Mereka berhutang dengan Along selepas kalah pertaruhan.

“Ibu bapa mereka juga ada yang membantu tapi bila aktiviti itu berulang, keluarga tidak lagi mampu untuk menampung hutang berkenaan sekali gus mengakibatkan mereka diburu Along. Sebab itu ada pemain yang meninggalkan BAM dan SSBJ,” katanya.

Rashid mengharapkan aktiviti tidak sihat itu perlu disekat dan dipantau sejak di SSBJ lagi sebelum ia menular hingga pemain bergelar senior.

“Ia bukan baru, sudah bertahun-tahun, tapi kalau hendak didik mereka ia perlu dilakukan dari peringkat sekolah. Mereka ini perlu dipantau. Mungkin ada yang terjebak dengan mengunjungi kafe siber, terpengaruh dengan abang atau saudara-mara.

“Pergerakan mereka harus dipantau dari perSingkat sekolah, mungkin mereka keluar malam... kita mana tahu. Kalau pemain yang mampu fokus latihan dan pembelajaran memang tidak ada masalah. Sekarang kita tak tahu pergerakan jadual harian mereka,” katanya.

Semalam, Arena Metro melaporkan dua pemain yang bernaung di bawah BAM terbabit dengan judi hingga terpaksa meminjam daripada Along.

Lebih parah, kedua-dua pemain itu berdepan masalah untuk membayar semula pinjaman yang mencecah ratusan ribu ringgit.

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 4:30am
d