utama

Cinta cucu Rajah Brooke

Oleh Garret Dawum

“SELAMA ini, saya hanya mendengar cerita keunikan rakyat Sarawak dan apabila menjejak kaki kali pertama ke negeri ini, saya terus jatuh cinta,” kata Lady Roberta Simpson, 82.

Cucu perempuan Rajah Putih Sarawak Ketiga, Charles Vyner Brooke (CV Brooke) itu berkata, beliau kagum dengan rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan agama, tetapi hidup dalam harmoni serta mesra.

“Nenek (Ranee Sylvia Brett Brooke) banyak bercerita keunikan Sarawak kepada saya namun saya tidak pernah mempunyai peluang ke negeri ini. Ini adalah lawatan kali pertama saya ke sini.

“Ternyata, apa yang diberitahu nenek adalah benar,” katanya dalam sidang media bersama saudaranya iaitu Pengarah Yayasan Brooke dan Muzium Brooke, Jason Brooke di Old Court House di sini, kelmarin.

Roberta adalah cucu perempuan CV Brooke daripada anak keduanya, Elizabeth Brooke dengan pasangannya Harry Boy.

Kata Roberta, beliau gembira dengan sambutan mesra daripada rakyat Sarawak yang diterimanya sepanjang melawat ke negeri ini.

“Peluang berjumpa dengan rakyat Sarawak adalah satu kenangan yang amat menarik dan indah serta bermakna dalam hidup saya.

“Saya suka dengan program lawatan yang disediakan kerana dapat berkunjung ke lokasi bersejarah bandar raya ini seperti Taman Negara Bako, Kampung Budaya Sarawak, Pantai Santubong, Fort Margherita dan Astana.

“Saya sayang mereka dan barulah saya faham kenapa datuk dan keluarga saya terlalu banyak bercerita berkenaan Sarawak. Cinta mereka terhadap Sarawak dan rakyatnya sangat utuh,” katanya.

Tambah Roberta, neneknya juga banyak menghasilkan lukisan berkenaan rakyat dan alam sekitar Sarawak.

“Antara lukisan nenek yang menjadi perhatian saya ialah potret wajah gadis Sarawak dan pahlawan Dayak serta Gunung Santubong.

“Menurut nenek, wanita Sarawak adalah wanita tercantik di dunia dan beliau ada melukis potret wanita itu,” katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 5:00am
d