utama

Azeem baharui rekod 200m [METROTV]

Oleh Aida Adilah Mat

CATATAN 21.24 saat(s) dilakukan Muhammad Azeem Mohd Fahmi, 15, ketika Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor, Mei lalu menyaksikan atlet berkenaan dilabel selaku pelari remaja terpantas dunia dalam acara 200 meter(m).

Bagaimanapun, hari ini Azeem memperbaiki catatan berkenaan apabila melakukan 21.13s pada Kejohanan Sekolah-Sekolah Sukan Thailand (TSSG) di Khon Kaen sekali gus membuatkan kelibat atlet kelahiran Perak itu makin digeruni pesaing.

Catatan itu juga melayakkan Azeem secara merit ke Sukan SEA Filipina hujung tahun ini dan dia juga muncul atlet olahraga termuda negara layak ke temasya itu.

Bagaimanapun jurulatihnya, Mohd Hazuan Zainal Abidin ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp berkata masa belum sesuai buat Azeem beraksi dalam kejohanan itu.

“Azeem terlalu muda. Kami tidak mahu tergesa-gesa. Bukan masanya lagi untuk dia. Biar dia dengan peringkat umurnya,” katanya.

Penjelasan Mohd Hazuan itu sekali gus membayangkan beliau tidak rela Azeem menyertai Sukan SEA tahun ini.

Dalam acara akhir yang berlangsung petang tadi, Azeem menewaskan dua pelari tuan rumah yang jauh ketinggalan dengan masa 22.10s dan 22.53s.

Azeem yang terkenal dengan julukan ‘Usain Bolt’ Malaysia meninggalkan Thailand dengan kemenangan manis hasil kejayaan dua emas dan dua rekod baharu dalam acara 100m dan 200m.

“Kejayaan hari ini adalah kemahuan Azeem. Dia mahukan yang terbaik. Saya dan jurulatih Amir Tan hanya beri yang terbaik. Dia terjemahkan dalam lariannya dan keadaan kondisi badannya juga berada di tahap terbaik,” katanya.

Azeem yang turun dalam acara 100m sebelum ini mencatatkan 10.70s untuk memenangi acara ‘reben biru’ selain memecahkan rekod kejohanan dilakukan atlet Singapura, Lee Siong En, 10.73s.

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 8:41pm
d