utama

Broker saham didakwa

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

SEREMBAN: Seorang broker saham didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua tuduhan membunuh pasangan warga emas di Nilai, bulan lalu.

Tertuduh, Tan Kian Ngip, 40, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mahyun Yusof dan Majistret V Vanita.

Namun, tiada pengakuan direkodkan mahkamah.

Mengikut pertuduhan yang bacakan di hadapan Majistret Mahyun, Tan didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Eng Chong Hwa, 67, dengan menikam menggunakan pisau.

Sementara, pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Vanita, dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Tan Kim Joo, 73, dengan menikam menggunakan pisau.

Semua kesalahan itu dilakukan di Taman Desa Melati, Nilai antara jam 4 petang hingga jam 7.45 malam, 24 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mas Syafiqah Mahroob bagi pertuduhan pertama dan Nur’atiqah Sapari bagi pertuduhan kedua manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Joseph Kevin dan Leng Win Mun.

Mas Syafiqah dan Nur’atiqah kemudian memohon mahkamah menangguhkan prosiding kes bagi menunggu laporan kimia dan forensik.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 10 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, tiga individu lain iaitu Lim Boon Ee, 35, Huen Kok Chou, 38, dan Kek Yiing Haur, 41, mengaku tidak bersalah di hadapan Mahyun terhadap pertuduhan menghilangkan pisau digunakan Tan.

Mengikut pertuduhan, semua mereka secara bersama didakwa menghilangkan pisau digunakan Tan dengan niat mengelakkan lelaki terbabit daripada seksaan undang-undang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah bernombor 597, Jalan Melati 21, Taman Desa Melati, Nilai antara jam 7 hingga jam 8.50 malam, 25 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Lim diwakili peguam Joseph dan Win Mun manakala Kek diwakili Joseph Mathews dan Huen diwakili peguam B Jayaprakash Rao.

Mas Syafiqah kemudian memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM15,000 setiap seorang dengan dua penjamin dan mengenakan syarat tambah iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM8,000 seorang dengan dua penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahyun turut menetapkan 10 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 5:40am
d