utama

Penuntut kita maut di Sydney

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEORANG penuntut Malaysia meninggal dunia dipercayai terjatuh dari pangsapuri didiaminya di Sydney, Australia, hari ini.

Mangsa, Amirul Ashraff Md Azhar, 22, berasal dari Taiping, Perak adalah penuntut tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di Universti Technology Of Sydney.

Bapanya, Md Azhar Hasbullah, 48, berkata, dia dihubungi pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Australia pada 4 petang hari ini.

“Setakat ini saya dimaklumkan anak saya terjatuh dari pangsapuri didiaminya yang terletak kira-kira lima kilometer dari universiti berkenaan.

“Sehingga kini saya menunggu maklumat lanjut dari MARA berikutan dia adalah pelajar tajaan MARA,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Md Azhar berkata, sebelum ini anaknya ada menghubunginya memberitahu dia gagal lima subjek dan perlu membuat rayuan kepada MARA.

“Dia sudah membuat rayuan kepada MARA, namun saya merasakan dia tertekan. Apapun, saya kini sedang menunggu maklumat lanjut daripada pegawai di sana.

“Dia (Amirul Ashraff) tidak menceritakan masalah lain selain gagal lima subjek berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia menghubungi anaknya itu adalah pada 30 Julai lalu ketika sambutan ulang tahun kelahiran anaknya.

“Dia baru seminggu menyambut ulang tahun kelahiran. Saya kini menunggu perkembangan daripada pegawai MARA di sana.

“Jenazah akan dikebumikan di Taiping selepas selesai semua urusan nanti,” katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 6:00pm
d