utama

Najib belanja RM606.5j dalam 3 tahun

Oleh Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu sebanyak RM606.5 juta dimasukkan dan dibelanjakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak antara 2013 hingga 2015.

Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joaana Yu Ging Ping, 48, mengakui berhubung transaksi itu ketika menjawab soalan pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram.

Semua transaksi itu membabitkan tiga akaun semasa milik Najib di AmBank iaitu bernombor 2112022011-898, 2112022011-906 dan 2112022011-880.

Sithambaram merujuk kepada Yu dokumen bank yang menunjukkan semua jumlah duit masuk dan keluar iaitu sebanyak RM606,510,434.66 dan wanita itu mengakuinya.

Berdasarkan penyata bank dikemukakan, ia menunjukkan pecahan jumlah dikredit dalam tiga akaun itu iaitu RM109,344,315.26 juta (akaun 898); RM205,200,913.36 juta (akaun 906); dan RM292,365,208.07 juta (akaun 880).

Selain itu, mahkamah turut diberitahu pada tempoh sama, Najib ada menerima wang berjumlah RM212,367,697.57 dalam bentuk mata wang asing.

Yu berkata demikian ketika prosiding perbicaraan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapi Najib, 66.

Terdahulu, Yu berkata, ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low menggunakan gelaran ‘OP’ yang membawa maksud ‘Optimus Prime’ (watak di dalam filem Transformers) terhadap Najib.

Beliau berkata demikian ketika Sithambaram merujuk kepada log perbualannya dengan Jho Low berhubung transaksi tiga akaun milik Najib.

SITHAMBARAM: Merujuk kepada perbualan ini, Jho Low berkata kepada kamu, “Beritahu dia, OP kata mereka mungkin akan tutup akaun pada Disember.” Apakah maksud ini?

YU: Ketika itu Ashok (Pengarah Urusan AmBank, R Ashok) mahu mengemaskini laporan.

SITHAMBARAM: Apa maksud OP?

YU: Yang saya saya ingat ia bermaksud Optimus Prime.

SITHAMBARAM: Siapa OP ini?

YU: Saya rasa ia merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Yu berkata adalah mustahil Najib tidak mengetahui berhubung wang di dalam akaun miliknya digunakan kerana baki perlu mencukupi sebelum cek dikeluarkan.

Menjawab soalan Sithambaram, Yu berkata, tidak ada dakwaan dibuat bahawa cek tidak dikeluarkan oleh Najib.

SITHAMBARAM: Ada cek dikeluarkan kepada Jho Low?

YU: Tidak.

SITHAMBARAM: Ada bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil mengeluarkan wang dari semua akaun ini?

YU: Tidak.

SITHAMBARAM: Bagaimana dengan akaun milik kamu?

YU: Tidak.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghani bersambung Khamis ini.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 6:47pm
d