utama

Kedutaan Arab Saudi keluarkan Visa Furada

Oleh Yusri Abdul Malek

VISA Furada dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi dan tiada kaitan dengan Tabung Haji (TH).

Sebaliknya, TH hanya menguruskan kuota haji sedia ada dan tambahan yang diberikan kerajaan Arab Saudi iaitu 33,000 kuota tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, semua kuota haji adalah dengan TH kecuali visa Furada.

Katanya, kejadian 26 jemaah terkandas dan diarah pulang semula ke Tanah Air mencalarkan imej negara.

“Isu ini menjadi titik hitam dan saya kesal dengan apa yang berlaku. Namun, ia bukan masa untuk mencari salah sesiapa dan kerajaan akan cuba mengatasi masalah yang berlaku ini agar tidak berulang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kebersihan Masyair di Hotel Land Premium, Makkah semalam.

Hadir sama Pengerusi TH Tan Sri Md Nor Yusof dan Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Fuziah berkata, semua jemaah yang terkandas itu sudah selamat tiba di tanah air.

“Ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada TH kerana membantu semua jemaah ketika berada di lapangan terbang dan sehingga mereka pulang,” katanya.

Visa Furada adalah visa haji yang dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur secara terus kepada jemaah terpilih dan tidak diuruskan TH.

Sesiapa saja boleh membuat permohonan bagi mendapatkan visa itu dan terpulang kepada kedutaan untuk meluluskan permohonan berkenaan.

Harian Metro semalam melaporkan 26 rakyat Malaysia yang kononnya menerima visa Furada terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah selepas imigresen Arab Saudi mendapati nama mereka tiada dalam senarai visa haji.

Mereka datang dalam satu kumpulan dengan menaiki penerbangan komersil dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tiba di Jeddah pada 7 malam Isnin.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 4:24pm
d