utama

Demimu Fatin Farzana...

Oleh Redzuan Muharam

“MULANYA memang kekok tetapi kini tidak lagi. Malah, saya sudah selesa melakukan dua pekerjaan setiap hari memandangkan misi saya adalah mencari rezeki selain mengumpul wang bagi mendirikan rumah tangga,” kata Amirul Syafieq Muhd Isa Sham, 23.

Muhammad Amirul adalah bekas pemain bola sepak pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tidak lagi bermain selepas mengalami kecederaan hamstring, Julai tahun lalu.

Kecederaan itu menyebabkan Muhammad Amirul terpaksa berehat selama sebulan dan keinginannya untuk meneruskan karier sebagai pemain bola sepak juga tidak kesampaian berikutan masalah berkenaan.

Meskipun sedih, graduan Diploma Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu bangkit dan kini meneruskan hidup.

Dia bekerja sebagai penghantar makanan di restoran makanan segera bermula 8 pagi hingga 4 petang dan penghantar GrabFood, antara 5 petang hingga 11 malam.

“Selepas pulih daripada kecederaan, saya pernah cuba nasib dengan menyertai ujian kelayakan tetapi gagal terpilih mungkin kerana jurulatih enggan ambil risiko.

“Saya pula seorang yang tidak suka menyusahkan keluarga jadi berbekalkan lesen kejurulatihan dimiliki, saya cari peluang dan mengambil tawaran sebagai jurulatih bola sepak walaupun hanya dibayar RM50 saja untuk satu sesi latihan.

“Oleh kerana jumlah pendapatan diterima tidak menentu, saya nekad mencari pekerjaan lain dan akhirnya diterima bekerja sebagai penghantar makanan di restoran makanan segera pada Januari lalu walaupun tidak mempunyai pengalaman,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Amirul yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata, pada mulanya, dia tidak yakin untuk bekerja sebagai penghantar makanan hingga kerana malu jika disapa individu yang mengenalinya.

Katanya, lama-kelamaan, dia dapat membiasakan diri dan selesa dengan pekerjaan dilakukan walaupun pernah tiga kali terbabit dengan kemalangan ketika dalam perjalanan menghantar pesanan pelanggan.

“Ketika menjadi pemain bola sepak, saya menerima pendapatan sehingga RM4,000 setiap bulan dan hanya perlu menjalani latihan selama dua jam setiap hari.

“Namun, keadaan berubah selepas bekerja sebagai penghantar makanan apabila gaji diterima tidak banyak seperti sebelum ini.

“Keadaan itu menyebabkan saya malu dan hilang keyakinan diri hingga memakai topeng muka setiap kali keluar menghantar pesanan kepada pelanggan dan ia berterusan selama sebulan ,” katanya yang menetap di Puchong, Selangor bersama keluarganya.

Menurut Muhammad Amirul, jika tiada halangan, dia merancang mendirikan rumah tangga dengan teman wanitanya, Fatin Farzana Md Fazil, 25, pada hujung tahun depan.

Atas sebab itu, Muhammad Amirul tiada pilihan kecuali melakukan dua pekerjaan sejak April lalu dengan harapan hasratnya untuk ‘membina masjid’ menjadi kenyataan.

“Pada awalnya memang rasa berat malah saya pernah demam sehingga lima hari hingga tidak larat untuk bangun kerana terlalu penat.

“Kini, saya sudah biasa dengan rutin harian walaupun pekerjaan ini menuntut kesabaran tinggi kerana perlu berhadapan dengan kerenah pelanggan.

“Malah, saya sudah lali dimaki dan dimarahi pelanggan cuma paling tidak dapat dilupakan apabila ada yang menghina dengan menggelarkan saya lembap selain meragui kebolehan bertutur dalam Bahasa Inggeris hanya kerana bekerja sebagai penghantar makanan,” katanya.

Mengenai gambarnya yang tular , Muhammad Amirul berkata dia tidak sangka perkongsiannya menerusi ciapan di Twitter mendapat perhatian warganet.

“Gambar berserta kapsyen ringkas itu dimuat naik tengah hari tadi ketika sedang berehat dan sebenarnya didedikasikan kepada teman wanita saya bagi menggembirakannya.

“Tak sangka pula ia boleh tular dan Alhamdulillah, ramai yang memberi kata semangat dan saya berharap perkongsian itu memberi inspirasi kepada orang ramai terutama anak muda di luar sana yang sedang berusaha mencari pekerjaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 11:47pm
d