utama

Guna DNA tempatan

Oleh Firdaus Hashim

PROGRAM Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bakal mengalami perubahan drastik susulan DNA baharu yang dilancarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 9 Julai lalu.

NFDP yang diperkenalkan pada 2013 menggunakan falsafah bola sepak Jerman sebagai asas DNA dengan menerapkan formasi permainan 4-4-2 akan digantikan dengan DNA bola sepak Malaysia iaitu corak permainan 4-3-3.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin yang kini dipertanggungjawabkan untuk mengetuai program NFDP berkata, satu bengkel bersama tiga pemegang taruh iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), MSN dan FAM akan diadakan bulan ini untuk memperbaiki dan menambah baik program berkenaan.

“Kita akan buat bengkel bulan ini untuk melihat balik semua sasaran yang diletakkan sebelum ini termasuk meletakkan visi 10 tahun akan datang iaitu 2021-2030 selaras dengan F:30 (Peta Hala Tuju FAM).

“Kita akan bincangkan dalam bengkel itu dan kita juga akan selaraskan sekali dengan DNA FAM yang baharu dan F:30 sekali supaya tidak lagi bergerak berasingan macam dulu,” katanya ketika ditemui pada Program Impian ASEAN (ADP) 2019 anjuran Cerezo Osaka, Yakult (Malaysia) dan stesyen televisyen Osaka, di sini, semalam.

Jelasnya, meskipun sebelum ini banyak pihak mempertikaikan kewujudan NFDP susulan kegagalan skuad bawah 17 (B-17) tahun negara layak ke Piala Dunia B-17 di Brazil tahun ini, ia tidak bermakna program berkenaan perlu dimansuhkan di atas kegagalan itu.

Sebaliknya ia akan diperkasakan lagi dengan FAM akan diberi peranan yang lebih dalam program pembangunan itu.

“Berbanding dulu, FAM kurang memainkan peranan bagi menentukan hala tuju (NFDP) tapi sejak di bawah YB Menteri baharu (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), kita akan bekerja sama erat dengan FAM.

“Kita melihat NFDP masih lagi dalam landasan terbaik meskipun gagal mencapai sasaran layak ke Piala Dunia B-17. Kita perlu fokus kepada matlamat jangka panjang program ini iaitu untuk melahirkan pelapis terbaik negara yang bakal mengembalikan kegemilangan bola sepak tanah air,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 5:30am
d