utama

Rojak bingkisan terakhir - Faizal Tahir

Oleh Ramlah Zainal

BUKAN merajuk atau kecewa dengan industri muzik tanah air sebaliknya penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir, 41, ada alasan tersendiri untuk mengumumkan album kelima berjudul Rojak adalah bingkisan album terakhirnya buat peminat.

Menurut bintang yang digilap daripada program One in a Million musim pertama dan mendapat jolokan ‘Superman’ ini, dia putuskan perkara berkenaan selepas berbincang dengan pasukan produksi syarikat rakamannya, Faithful Music.

“Semua orang sedia maklum penerbitan album bukannya pelaburan yang membawa keuntungan ketika ini.

“Saya juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman Internet dan platform digital yang juga hala tuju bidang muzik sekarang,” katanya.

Faizal turut menafikan dia kecewa dengan industri muzik tanah air ketika ini.

“Saya tidak fikir pada usia sekarang, wajarkah saya kecewa dengan perubahan yang berlaku.

“Sebenarnya, saya banyak belajar dengan apa yang berlaku sekarang ini. Harapan saya hanya kepada Allah dan Dia juga yang menggerakkan hati untuk membuat keputusan penting ini.

“Saya juga sedar berada pada tahap sekarang dalam industri muzik adalah kerana sokongan peminat tetapi tidak mampu memuaskan hati semua orang,” katanya.

Namun, kata penyanyi yang popular dengan lagu Ragaman ini, ia bukan bermaksud dirinya mahu meninggalkan dunia hiburan.

“Minat dan kecenderungan terhadap bidang muzik tak pernah berkurang.

“Ramai yang salah faham, album terakhir bukannya bermaksud saya berhenti berkarya sebaliknya masih meneruskan kerja mencipta lagu untuk artis yang bernaung di bawah pengurusan Faithful Music dan kerja belakang tabir bidang muzik. Ia juga bukannya gimik untuk album Rojak.

“Bakat menghasilkan lagu adalah anugerah daripada Allah SWT dan saya juga akan terus menghasilkan single ­baharu jika sampai masa sesuai,” katanya.

Mengenai karier nyanyian pula, kata Faizal, dia akan memperlahankan rentaknya.

“Saya akan lebih memilih dengan hanya menerima tawaran persembahan yang berbaloi.

“Pada masa sama, saya juga memiliki saluran YouTube sendiri untuk memuat naik video dan mesej yang baik untuk dikongsi dengan orang ramai,” katanya.

FOKUS KEPADA KELUARGA

Sebagai bapa kepada enam anak yang semakin membesar, Faizal mengakui dia menggalas tanggungjawab besar sebagai ketua keluarga.

“Antara faktor yang mendorong saya buat keputusan untuk hasilkan album terakhir dan perlahankan aktiviti nyanyian kerana mahu fokus kepada keluarga yang semakin besar.

“Saya juga sibuk dengan kerja belakang tabir dan aktiviti kemanusiaan sehingga ke Aceh serta Syria sebelum ini hingga kurang masa berkualiti bersama keluarga,” katanya.

Menurut Faizal, hubungannya juga sangat rapat dengan enam anaknya itu.

“Saya akan bangun awal pagi untuk menyiapkan anak ke sekolah dan selepas itu masuk pejabat pada jam 6 pagi.

“Anak sulung sudah berusia 14 tahun dan kini saya mahu luangkan lebih banyak masa dengan anak.

“Oleh itu, selepas pelancaran album Rojak, saya merancang bercuti panjang untuk berehat bersama keluarga,” katanya.

Mengulas mengenai keistimewaan album Rojak pula, kata Faizal, ia memuatkan sembilan lagu pelbagai genre.

“Album ini memuatkan empat lagu baharu iaitu Ratu, Kamu, Until We Meet Again dan Fire & Water (lagu runut bunyi untuk filem animasi BoBoiBoy Movie 2 terbitan Animonsta Studios).

“Empat lagu baharu itu juga membabitkan pelancaran video muzik rasmi dalam tempoh seminggu.

“Video muzik Fire & Water dan Ratu juga sudah menjadi trending di You Tube dan semua video muzik terbabit boleh ditonton menerusi saluran YouTube saya,” katanya.

Faizal memulakan kerjaya muzik pada 2004 dan pernah menghasilkan empat album studio iaitu Aku.Muzik.Kamu pada 2007, Adrenalin (2010), Faizal Tahir (2013) dan Anatomi (2016).

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 6:00am
d