utama

Kucing 'ditahan' untuk siasatan

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

KUCING baka British ‘short hair’ tidak dibenarkan dibawa masuk ke negara ini oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) susulan permit import dikemukakan mengelirukan.

Difahamkan, nombor mikrocip haiwan betina berkenaan tidak sama dengan yang dikemukakan menerusi permit importnya.

Ketua Pintu Masuk MAQIS Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Kargo, Mohamad Maelah berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan membabitkan 12 kucing diimport dari Russia di Kompleks Kargo KLIA Sepang 1 Ogos lalu.

“Susulan pemeriksaan ke atas 12 kucing itu, didapati satu daripada import permit yang dikemukakan adalah mengelirukan dan MAQIS mengambil tindakan dengan menahan kucing berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mengemukakan permit palsu, tidak tepat atau mengelirukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Dalam kes berasingan pada 29 Julai lalu, beliau berkata, tiga anak pokok bonsai diimport dari Tanzania, Afrika tanpa import permit sah daripada MAQIS tidak dibenarkan masuk ke negara ini.

“Perbuatan mengimport anak pokok bonsai tanpa mempunyai permit suatu import sah daripada jabatan ini suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

“Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, MAQIS sentiasa memantau pintu masuk negara bagi memastikan haiwan peliharaan atau tumbuhan yang dibawa masuk mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan oleh kerajaan.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 9:53am
d