utama

Terpaksa menipu untuk lindungi Najib - Husni

Oleh Murni Wan Omar

BEKAS Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak beritahu perkara sebenar berhubung peletakan jawatannya kepada media kerana mahu menjaga nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding bicara kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib, 66.

Menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, beliau mendakwa terpaksa menipu media dan orang awam pada 2016 ketika meletakkan jawatannya. “Ketika itu, saya beritahu bahawa ia tiada kena mengena dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau SRC International Sdn Bhd. Saya buat begitu kerana hormat Perdana Menteri.

“Saya letak jawatan kerana Najib mahu memindahkan saya ke bahagian lain dan juga kerana Allah. Saya memang mahu letak jawatan sejak 2015 apabila diminta melaksanakan pelan rasionalisasi bagi hutang 1MDB berjumlah RM42 bilion,” katanya.

Saksi ke 56 itu mendakwa walaupun diminta oleh Najib untuk tidak masuk campur dengan urusan 1MDB dan SRC International, beliau tetap mengambil tahu berhubung pelaburan luar negara oleh SRC International.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakannya mengarahkan bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Datuk Seri Dr Mohd Isa Husaain membuat lawatan ke Jawa, Indonesia bagi memastikan pelaburan projek arang batu di bawah SRC International itu wujud.

SHAFEE: Kamu masih membabitkan diri walaupun diminta tidak campur tangan?

HUSNI: Ya saya bimbang.

SHAFEE” Kamu masih membabitkan diri kerana bimbang dengan pelaburan SRC?

HUSNI: Bimbang cukuplah.

Terdahulu, menjawab soalan Muhammad Shafee, Ahmad Husni berkata beliau tidak membuat sebarang bantahan apabila SRC International mengemukakan permohonan kedua bagi mendapatkan pinjaman kedua daripada KWAP pada 2012.

“Saya tahu saya tidak dapat berbuat apa-apa. Bagaimanapun saya mengambil tindakan dengan memeriksa sendiri bagaimana wang yang dipinjamkan oleh KWAP itu digunakan.

“Ia termasuk menyiasat adakah benar pelaburan yang didakwa di luar negara itu benar-benar wujud atau tidak,” katanya.

Menjawab soalan tindakan beliau membuat bantahan berhubung SRC International mendapat jaminan kerajaan bagi pinjaman RM2 bilion oleh KWAP pada 2011 kepada Najib, Ahmad Husni mengakui ada berbuat demikian.

“Saya membuat bantahan itu di pejabat Perdana Menteri sendiri dan bukan ketika mesyuarat Jemaah Menteri. Ini adalah kerana Najib mempunyai kuasa untuk menarik balik memo berhubung jaminan itu.

“Ketika di dalam Kabinet, jarang perbincangan dibuat terhadap kertas cadangan atau memo. Tiada perbincangan, hanya bentangkan dan kemudian setuju. Itu adalah realiti di dalam Kabinet. Kecuali membabitkan 1MDB kerana terdapat sedikit perbezaan pendapat,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 3:22pm
d