utama

Bersemangat kembang bakat - Syazwan

Oleh Ramlah Zainal

NAMANYA pernah terpalit dengan kontroversi yang turut mencalarkan reputasinya sejak sembilan tahun berkecimpung dalam dunia hiburan tanah air. Bukan saja pernah dilabel panas baran dan bermasalah, Syazwan Zulkifli, 32, juga pernah digam stesen televisyen kerana kontroversi terbabit.

Namun, pelakon yang dikenali dengan watak antagonis ini tidak patah semangat untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan.

“Saya akui pernah ada sedikit masalah dengan bekas kekasih yang juga pengacara dulu. Tetapi perkara itu sudah selesai dan dia (bekas kekasih) juga sudah bahagia dengan perkahwinannya.

“Insiden itu juga dikatakan menjadi punca saya digam stesen televisyen sebelum ini,” katanya.

Syazwan juga tidak menyangkal mungkin kerana raut wajahnya yang ganas dan garang, dirinya dikaitkan sebagai pelakon bermasalah dalam industri hiburan.

“Saya juga sering membawakan watak antagonis dalam drama dan filem hingga ada yang anggap diri ini sama dengan watak dilakonkan.

“Pernah ada gosip saya bergaduh dengan Sharnaaz Ahmad ketika kami berlakon dalam filem Juvana sedangkan saya menghormatinya sebagai pelakon senior,” katanya.

Bagaimanapun, Syazwan bersyukur kerana namanya kembali mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah selepas beraksi dalam drama bersiri popular Pujaan Hati Kanda yang bersiaran di TV3 tahun ini.

“Saya baru selesai penggambaran dua projek drama pada tahun ini. Saya akur dengan jatuh bangun dalam bidang seni dan positif untuk kembali mendapat tempat dalam bidang lakonan.

“Mungkin saya tidak kacak atau mempunyai jumlah pengikut tinggi di laman sosial tetapi pertaruh lakonan berkualiti dan memberi impak kepada penonton,” katanya.

GANDING DENGAN NABILA HUDA

Terbaharu, Syazwan kembali beraksi di layar perak menerusi filem genre seram berjudul Wangi yang akan ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula 5 September depan.

Dalam filem itu, Syazwan bergandingan dengan barisan pelakon terkenal seperti Erra Fazira, Sharnaaz Ahmad dan Nabila Huda.

“Saya melakonkan watak pembantu sebagai Azlan yang juga teman lelaki kepada Nabila Huda dalam filem ini. Penggambaran babak saya banyak di lokasi luar negara.

“Saya menimba pengalaman berharga kerana dapat bekerjasama dengan pelakon hebat dan berpengalaman seperti Erra, Nabila Huda serta Sharnaaz dalam filem ini,”katanya.

Mengenai watak diimpikan pula, kata Syazwan, dia mahu melakonkan watak antagonis di layar perak.

“Saya banyak berlakon watak antagonis dalam projek drama sebelum jni. Pada masa sama, saya meminati filem bercorak ketenteraan seperti Paskal yang mendapat sambutan di pawagam sebelum ini,”katanya.

Selain Wangi, ada beberapa projek filem lakonan Syazwan yang menanti tarikh tayangan seperti Warkah.

Antara filem lakonannya sebelum ini ialah Juvana, Laga dan Gamatisme.

Dalam perkembangan lain, kata Syazwan, dia juga merancang menerbitkan filem pada masa depan.

“Saya meminati cerita epik dan sejarah seperti Kesultanan Melayu Melaka dan dari mana asalnya nama Melaka itu. Namun, ia masih dalam perbincangan,” katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 6:00am
d