utama

39 kesan cedera pada bayi

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KEJAM dan tidak berperikemanusiaan! Itu gambaran dapat diberikan apabila pengasuh dan suaminya dipercayai mendera sebelum membunuh bayi perempuan 12 bulan di rumah mereka, di Gombak, Ahad lalu.

Lebih menyedihkan, terdapat 39 kesan kecederaan ditemukan pada badan bayi malang itu. Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kematian bayi terbabit pada 8.48 malam.

Ia selepas doktor sebuah klinik swasta menghubungi talian MERS 999 memaklumkan kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, pengasuh itu membawa mangsa ke klinik swasta berkenaan.

“Dia sebelum itu mendakwa menyedari bayi itu terjatuh dari sofa dalam keadaan terlangkup. Ketika itu, wanita itu mendakwa dia berada di dapur.

“Ketika tiba di klinik, mangsa sudah tiada degupan jantung. Doktor berusaha menyelamatkan bayi itu, namun selepas 15 minit tiada tanda pemulihan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Gombak, hari ini.

Bagaimanapun katanya, hasil bedah siasat oleh pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati punca kematian mangsa disebabkan parah di bahagian kepala disebabkan objek tumpul.

“Malah, terdapat 39 kesan kecederaan pada bahagian tubuh badan dan kecederaan di kepala yang tidak konsisten dengan kenyataan suspek bahawa mangsa terjatuh sendiri.

“Susulan itu, polis kemudian menahan ibu, suami pengasuh dan pengasuh itu yang masing-masing berusia 28 hingga 34 tahun Selasa lalu bagi membantu siasatan,” katanya.

Samsor berkata, siasatan juga mendapati ibu mangsa sebelum ini turut menyerahkan kepada pengasuh bersama suaminya untuk menjaga anaknya.

“Semakan mendapati lelaki terbabit memiliki enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Soal siasat juga mendapati pengasuh dan suaminya mengaku terbabit dalam kejadian itu. Ketiga-tiga mereka direman tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 5:29pm
d