utama

Tahniah... Malaysia juara B-15 AFF

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

SKUAD muda Bawah 15 tahun negara (B-15) mengungguli Kejuaraan Bawah B-15 AFF apabila menewaskan Thailand 2-1 di Chonburi, Thailand malam ini.

Biarpun skuad kendalian P Maniam ketinggalan di babak pertama namun semangat melawan serta berjuang habis-habisan membolehkan mereka meledak dua gol pada separuh masa kedua.

Kejayaan itu turut menyentap sorakan ribuan penyokong Gajah Putih yang memberi sokongan padu kepada pasukan mereka yang beraksi di tempat sendiri.

Muhammad Izrin Ibrahim bijak menggelecek beberapa pemain lawan dari sebelah kanan sebelum merembat padu menggunakan kaki kiri menerjah jaring lawan pada m-69 dalam perlawanan berlangsung di Chonburi.

Tuan rumah terlebih dulu di depan menerusi tandukan Theekawin Chansri m-16 hasil sepakan sudut sebelah kiri yang gagal ditangkap kemas penjaga gol, Zulhilmi Sharani.

Penyerang Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin muncul wira apabila menyambar sepakan sudut pada m-79 perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan skuad negara.

Meskipun pengadil memberikan tiga minit masa tambahan, ia gagal dimanfaatkan oleh pemain tuan rumah yang tertekan dan turut mencetus insiden pergaduhan antara kedua-dua pasukan.

Kejayaan itu menamatkan penantian enam tahun negara selepas muncul juara pada 2013 di Myanmar di bawah bimbingan S Balachandran.

Skuad sama juga hampir membawa Malaysia layak ke Piala Dunia Remaja B-17 pada 2014 apabila tewas 2-1 kepada Australia.

Kemenangan Malaysia memberi petanda betapa skuad P Maniam berkeupayaan layak ke pusingan akhir AFC sekali gus cuba melakar kejutan mara ke Piala Dunia B-17 2021.

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 9:42pm
d