utama

Mesin sembelih hidraulik jimat masa

Oleh Faliq Lajim

KUALA LUMPUR: Kewujudan Pusat Penyembelihan Haiwan Ternakan di Masjid Puncak Alam, Kuala Selangor mampu menjimatkan masa serta tenaga ketika ibadat korban.

Ini kerana pusat itu menggunakan set lengkap mesin penyembelihan moden bersistem hidraulik selain dilengkapi peralatan untuk proses melapah serta memotong tulang.

Mesin itu direka khas pereka cipta peralatan berteknologi, Zulkifli Haron daripada Zull Design Autotronic serta mematuhi garis panduan syarak.

Imam I Masjid Puncak Alam, Afif Izwan Nordin, 30 berkata, kelengkapan mesin moden itu menjadikan kerja penyembelihan teratur dan cepat.

“Kita hanya perlukan orang untuk halau dan tarik haiwan sembelihan dari kandang sementara yang terletak bersebelahan pusat penyembelihan ke dalam mesin itu.

“Haiwan itu kemudian disembelih dan diletakkan pada chain block (rantai blok) bagi proses melapah sebelum dibungkus dan diagihkan.

“Mesin ini digunakan sekali pada Aidiladha. Namun, jika ada keperluan membabitkan majlis besar, kita terbuka untuk sewaan dengan kadar berpatutan,” katanya dalam program gotong-royong pusat penyembelihan itu, semalam.

Katanya, sepanjang proses penyembelihan itu berlangsung, aspek kebersihan sangat ditekankan sesuai dengan syariat Islam memandangkan pusat itu terletak dalam kawasan masjid.

Afif Izwan berkata, pada sambutan Aidiladha tahun lalu, pihaknya menumbangkan 20 lembu bermula jam 10 pagi dan semua daging siap diagihkan sebelum jam 1 tengah hari.

Menurutnya, bagi tahun ini pula, 15 lembu yang akan disembelih di pusat penyembelihan membabitkan 63 peserta.

“Semua daging itu akan diagihkan kepada asnaf yang tinggal di Puncak Alam oleh peserta yang melaksanakan ibadat itu.

“Ada seekor kambing akan dikorbankan. Namun ia akan disembelih secara tradisional berikutan mesin itu tidak sesuai digunakan untuk haiwan kecil.

“Seramai 150 kakitangan serta kariah masjid akan membantu menyembelih, melapah dan membungkus daging agihan,” katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 6:00am
d