utama

Tak jadi balik kampung

Oleh Mahaizura Abd Malik

KUALA LUMPUR: Cuti berganda antara sesi persekolahan dan Aidiladha menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa menempuh kesesakan luar biasa sejak kelmarin, termasuk ada yang terpaksa berpatah balik dan pulang semula ke rumah.

Pekerja swasta, Siti Sheril Aida Ibrahim,31, berkata, mereka tiga beradik keluar dari kediaman di Seri Kembangan, Selangor sejak 5.30 pagi semalam untuk pulang bercuti di kampung halaman di Kuala Terengganu, Terengganu.

“Kami merancang keluar awal pagi kerana ingin elakkan kesesakan.

“Sangkaan kami meleset apabila dari Melawati lagi kesesakan sudah mula berlaku menghala ke Plaza Tol Gombak apabila kenderaan bergerak perlahan 20 kilometer sejam (km/j).

“Selalunya perjalanan kami mengambil masa antara empat hingga lima jam tetapi dengan keadaan ini, kemungkinan kami akan tiba di kampung lapan jam atau sembilan jam lewat dari kebiasaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, netizen turut berkongsi pengalaman masing-masing menempuh kesesakan luar biasa kali ini.

Pemilik akaun Facebook MasniWati Jasim berkata, dia terpaksa berpatah balik daripada meneruskan perjalanan kerana tidak sanggup menghadap kesesakan.

“Raya Adha (Aidiladha) + cuti sekolah itu jadi jem (sesak) bertingkat-tingkat.

“Saya tadi separuh jalan pusing balik, rasa tak sanggup hadap teruk (sesak) sangat.

“Tunggu esok pagi raya lah baru balik kampung,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna jalan raya, MasniMilah Mohamad berkongsi pengalamannya lewat tiba di kampung halaman di Batu Pahat, Johor selepas menempuh kesesakan selama lima jam.

“Semalam petang (kelmarin) aku balik pukul 4 petang. Jam 9 malam baru sampai (padahal) Batu Pahat saja pun,” katanya.

Sementara itu, Syaiful Syazani pula berlapang dada menghadap kesesakan trafik selama lima jam demi bertemu keluarga tercinta di kampung halaman.

“Wuu...lima jam lah cerita dia duduk dekat highway (lebuh raya). Takpa demi hendak jumpa family (keluarga) apa salahnya,” katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 6:10am
d