utama

Kalau meninggal, itu lagu kenangan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“ARWAH seakan ‘merajuk’ dengan saya tetapi tak tahu apa puncanya kerana dekat 40 kali saya menghubunginya namun tidak dijawab malah kiriman WhatsApp pun dia hanya baca saja,” kata Muhammad Khairil Nizam Ruslan, 22.

Menurutnya, dia tidak sedap hati dengan perubahan tunangnya, Marziah Che Omar, 27, kerana arwah sebelum ini seorang yang ceria dan manja.

Katanya, beberapa hari sebelum kejadian, Marziah ada menghantar kiriman lagu kepadanya dan sempat bergurau seolah-olah dia mahu pergi buat selamanya.

“Arwah kata kalau dia meninggal dunia nanti, lagu itulah hadiah kenangan buat dia dan saya marah padanya supaya tidak cakap macam tu.

“Sampai sekarang saya tak tahu kenapa dia tak mau jawab panggilan dan balas WhatsApp saya sedangkan dia tahu saya akan pulang untuk berhari raya pada hari kejadian,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga tunangnya di Taman Bersatu, di Jitra, semalam.

Muhammad Khairil Nizam yang juga anggota tentera dan bertugas di Kem Kementah, Kuala Lumpur berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa tunangnya pada 10 malam iaitu dua jam selepas kejadian.

Katanya, dia bergegas pulang dengan menunggang motosikal sendirian dari Kuala Lumpur ke sini semata-mata untuk melihat keadaan tunangnya.

“Malah, ketika dalam perjalanan bergegas ke sini (Jitra) saya terbabit dalam kemalangan kecil di Sungai Petani jam 2.45 pagi dan mengalami kecederaan ringan di siku kiri namun saya sempat menghubungi keluarga arwah minta tunggu saya sampai sebelum jenazah arwah dikebumikan.

“Sepatutnya saya pulang menyambut Hari Raya dengan tunang tersayang esok (hari ini) tetapi hanya dapat menatap jenazahnya,” katanya.

Muhammad Khairil Nizam berkata, dia dan Marziah sepatutnya melangsungkan perkahwinan antara Mac atau Jun tahun depan tetapi segala impian yang diharapkan musnah.

Katanya, arwah juga turut meminta saya mengambil barang dalam biliknya jika pulang ke rumah keluarganya di sini secara tiba-tiba.

“Apapun saya reda dengan ketentuan Allah dan berdoa supaya rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Dalam kejadian 8.30 malam kelmarin, Marziah yang menunggang motosikal seorang diri menuju ke Bulatan Jitra dikatakan cuba mengelak zink berterbangan ketika kejadian ribut sebelum digilis sebuah kenderaan di belakangnya ketika mangsa terjatuh.

Dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat.

Berita berkaitan

Menggigil lihat anak terbaring [METROTV]

Wanita maut digilis ketika ribut

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 10:07am
d