utama

Tinggal dua harta berharga

Oleh Siraj Mohd Zaini

BERDERAI air mata ibu ketika menziarahi kubur dua anak perempuannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Endah di sini, sejurus selesai solat sunat Aidiladha, pagi semalam.

Laungan takbir raya yang bergema dari Masjid At-Toyyibin di sebelah pusara itu menambah lagi kesayuan di hati Serihayati Ngainan, 48, suaminya Mohd Fakrul Khair Baharin, 41, ibunya, Sulaimah Sumiar, 70, serta satu-satunya anak lelaki mereka, Nur Iman Muqriz Muhd Fakrul Khair, 17.

Kedua-dua anak gadis Serihayati, Nur Salsabila, 15 dan adiknya, Nur Ain Sumayyah, 13, ditemui meninggal dunia akibat kebakaran rumah mereka di Jalan Utama, Kampung Endah, awal pagi 15 Julai lalu.

Serihayati berkata, kejadian yang meragut nyawa dua beradik hampir sebulan itu masih segar dalam ingatan mereka.

Katanya, wajah riang serta telatah Nur Salsabila dan Nur Ain Sumayyah sentiasa membayangi kehidupannya malah kadang-kadang terbawa-bawa ke dalam mimpi.

“Awal pagi semalam (kelmarin) saya terjaga sebab rasa macam kakak (Nur Salsabila) berada di depan muka dan tersenyum sebelum ghaib.

“Kami reda pemergian mereka namun ibu mana yang tidak rindukan anak walaupun hilang selama-lamanya,” katanya, semalam.

Serihayati berkata, menjelang Aidiladha kedua-dua arwah kerap memintanya menyediakan makanan kegemaran mereka iaitu sambal sotong dan daging goreng.

“Rendang bukan pilihan, tapi sambal sotong dan daging goreng itu menu wajib dua beradik itu.

“Aidiladha kali ini terasa bezanya apabila mendengar takbir raya tanpa mereka disisi. Bagaimanapun, saya percaya mereka berada di tempat lebih baik ketika ini,” katanya.

Katanya, meskipun hampir semua barang peninggalan arwah musnah dalam kebakaran ada dua barang berharga milik mereka yang menjadi pengubat rindu.

“Di rumah itu ada tiga naskhah Al-Quran dan satu naskhah tidak dijilat api sepenuhnya mungkin disebabkan setiap helaian itu selalu dibaca mereka.

“Beberapa hari selepas kejadian, ada rakan memulangkan dua pasang telekung yang digunakan dua beradik itu ketika solat di sekolah.

“Kini hanya Al-Quran dan telekung itu menjadi kenangan kami,” katanya.

Mengimbas tragedi itu, Serihayati menyimpan perasaan ralat kerana tidak berada di rumah berikutan tugasnya menyediakan makanan untuk anggota bomba bertugas di kilang bahan kimia di Pelabuhan Klang.

Katanya, anak lelakinya, Nur Iman Muqriz juga menyatakan perasaan sama kerana dia keluar makan di restoran berhampiran ketika kebakaran berlaku.

“Nur Iman berkali-kali cakap kalau dia berada di rumah, mesti dapat selamatkan adiknya, tapi saya jawab kalau dia berada di rumah, mungkin dia juga terkorban.

“Kami tidak menyalahkan takdir serta redha ketentuan Allah SWT. Namun sebagai ibu bapa masih berbekas perasaan bersalah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, kedua-dua beradik itu gagal diselamatkan bapa saudara mereka yang tinggal di hadapan kediaman disewa keluarga berkenaan.

Rumah kayu berkenaan musnah 100 peratus dalam kebakaran itu yang dipercayai akibat litar pintas.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 5:45am
d