utama

Tunggu Amira balik sampai akhir nafas

Oleh Zaid Salim

“KALAU dia ada sekarang, umurnya sudah 27 tahun dan mungkin memiliki keluarga,” kata Puspawati Mohamad, 38, kakak Nurul Amira yang hilang ketika berusia 12 tahun pada Disember 2004.

Nurul Amira yang juga anak bongsu daripada enam beradik mengikuti bapanya yang berniaga ikan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pulau Kambing, lima kilometer dari rumahnya di Lorong Haji Da, Batu Burok di sini.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman 2, Kuala Terengganu itu sering membantu bapanya menjual ikan dan dua beranak terbabit berbasikal ke jeti berkenaan.

Bagaimanapun, pada hari kejadian, Nurul Amira keluar rumah jam 6 pagi mengikut bapanya dengan mengayuh basikal sendirian selepas 30 minit lelaki itu meninggalkan rumahnya.

Kehilangannya disedari apabila Nurul Amira tiada bersama bapanya yang pulang ke rumah jam 7 malam dan usaha pencarian mangsa menemui basikal miliknya tersadai di tepi jalan di persimpangan lampu isyarat Kampung Gong Kapas, tiga kilometer dari rumahnya.

Walaupun sudah 15 tahun berlalu, Nurul Amira belum ditemui dan keluarganya masih berharap dia kembali ke pangkuan keluarga.

Menurut Puspawati, kehilangan adiknya dianggap misteri kerana sehingga kini mereka tidak tahu sama ada Nurul Amira masih hidup atau sebaliknya.

“Ketika kejadian ibu, Samsiah Idris, 48, dan bapa, Mohamad Omar, 64, dan kini mereka sudah tiada tetapi sebagai kakak saya mengharapkan dia masih hidup.

“Sejak kehilangannya, arwah ibu dan ayah banyak menghabiskan duit berjumpa ustaz dan bomoh termasuk di Thailand dalam usaha mencari adik selain menjejak bersama ahli keluarga di sekitar negeri ini,” katanya.

Puspawati berkata, arwah ibunya berada di beranda rumah setiap hari menunggu kepulangan adik sehingga menghembuskan nafas terakhir pada 2009 kerana tersedak nasi.

“Sedih melihat keadaan ibu. Dia sangat merindui adik dan berharap Nurul Amira pulang sehingga bertemu ajal di atas kerusi di beranda rumah, manakala ayah meninggal kerana sakit jantung pada 2013 ketika usia 73 tahun.

“Memang ia tragedi lama, tetapi kami masih berharap dia pulang walaupun tidak tahu apa yang berlaku pada hari kejadian.

“Kehilangannya sangat misteri dan menimbulkan banyak tanda tanya namun kami terima semua ini sebagai dugaan,” katanya yang kali terakhir membuat laporan polis pada 2011.

Tambah Puspawati, jika Nurul Amira sudah tiada, dia dan keluarga menerima ketentuan Ilahi, tetapi biarlah kematiannya berkubur.

“Kami tidak tahu status Nurul Amira, tetapi jika dia masih hidup, kami harap dia kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 6:30am
d