utama

Badi Hafizh berpanjangan

Oleh Saiful Affendy Sapran

PRESTASI serta keadaan pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mencetuskan rasa bimbang pengurus pasukan Red Bull KTM Tech 3, Herve Poncharal.

Di Grand Prix (GP) Austria kelmarin, Hafizh terpaksa dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut kerana mengalami gegaran di kepala selepas terbabit kemalangan ketika hari perlumbaan.

“Ia adalah kali kedua berturut-turut Hafizh gagal menamatkan perlumbaan yang mana ia agak membimbangkan.

“Sebab sejak kembali daripada cuti panjang, Hafizh nampak agak gementar dan mungkin cuba untuk mempamer prestasi lebih daripada kebiasaannya. Dia mengalami gegaran di kepala. Selain itu saya lihat dia nampak baik saja.

“Saya rasa kami perlu berbincang dengannya dengan memberitahu perkara paling penting adalah dapat menamatkan perlumbaan dengan selamat,” katanya.

Poncharal berkata, Hafizh masih mempunyai peluang untuk membuktikan kemampuannya sebelum kontraknya berakhir hujung musim ini.

“Saya rasa dia mempunyai peluang untuk memungut mata. Apapun, dia perlu bersikap positif dan terus bekerja keras,” katanya.

Kegagalan menamatkan perlumbaan kelmarin adalah yang keempat dialami Hafizh musim ini dan dia kekal mengutip tiga mata selepas 11 pusingan.

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 5:45am
d