utama

Dulu liar kini pakar

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

DAHULUNYA mereka pernah terpesong arah hidup hingga terjebak dalam kes juvana membabitkan kegiatan curi motosikal dan pecah kenderaan.

Namun siapa menyangka remaja liar ini akhirnya berjaya membantu masyarakat dengan membuat alat bantuan dan sokongan bagi keperluan golongan orang kurang upaya (OKU).

Ternyata didikan diberikan kepada penuntut Asrama Akhlak Lelaki Kempas, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjaya melahirkan golongan kreatif yang akhirnya menyumbang untuk masyarakat.

Ini dibuktikan apabila 10 penuntut asrama itu kini mempunyai kemahiran khusus bagi menghasilkan alat sokongan OKU antaranya kerusi sisi khas bagi OKU yang memerlukan sokongan untuk duduk.

Selain itu, mereka mampu menghasilkan bangku khas bagi OKU yang menghadapi masalah tulang belakang serta alat stimulasi keseimbangan badan bagi OKU yang sedang berlatih berdiri dan berjalan.

Kejayaan itu adalah hasil Kerjasama Unit Pemulihan Carakerja Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan Asrama Akhlak (Lelaki) Kempas dalam menyediakan alat sokongan OKU dihasilkan penuntut terlatih itu.

Ketua Unit Pemulihan Carakerja HSA, S Peremalatha berkata, projek usahasama dengan Asrama Akhlak (Lelaki) Kempas dianggap unik dan julung kali diadakan.

“Ada dua sebab saya terpanggil untuk melaksanakan projek ini. Pertama kerana golongan OKU terutama kanak-kanak ini sukar mendapatkan alat sokongan yang sesuai termasuk dari segi kos yang agak tinggi.

“Keduanya, saya memikirkan kebaikan latihan pertukangan kayu diajar di asrama berkenaan yang boleh dijadikan projek komuniti,” katanya.

Menurutnya, sumbangan itu sedikit sebanyak mampu menginsafi mereka dan memberi motivasi apabila melihat golongan OKU dibandingkan dengan mereka yang normal.

“Ini sekali gus mampu mengubah kehidupan mereka supaya tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Profesion Pemulihan Carakerja Negeri Johor berkata, alat sokongan OKU yang berada di pasaran kini mencecah ribuan ringgit dan tidak mampu dimiliki OKU.

“Golongan OKU yang mahu mendapatkan produk yang sesuai, murah dan direka khas boleh mendapatkan alat bantuan ini daripada penghuni di sini. Bagaimanapun, ia perlu dirujuk melalui pihak juruterapi sebelum membuat tempahan,” katanya.

‘Saya boleh berubah’

“Saya bukan orang jahat, insya-Allah, saya boleh berubah,” kata Taufik (bukan nama sebenar), 14, salah seorang daripada 10 penghuni Asrama Akhlak (Lelaki) Kempas di sini, yang kini mahir menghasilkan alat bantuan dan sokongan bagi keperluan golongan orang kurang upaya (OKU).

Taufik dimasukkan ke asrama berkenaan selepas dikenakan perintah mahkamah selama setahun akibat memecah kereta.

“Sudah dua kali saya pecah kereta orang, tetapi kali kedua saya ditangkap. Saya terpengaruh ajakan kawan-kawan. Kawan lain turut ditangkap, tetapi mereka dijamin keluarga. Sebaliknya saya, keluarga suruh duduk di sini.

“Mula-mula memang ada rasa takut, lama-lama saya seronok. Cikgu semua bimbing dan ajar kami di sini dengan baik,” katanya yang sudah tujuh bulan ditempatkan di asrama berkenaan.

Anak kesembilan daripada 10 beradik itu berkata, dia berjanji apabila keluar kelak akan menjadi orang yang lebih baik.

“Saya yakin dengan didikan dan bimbingan di sini, saya boleh memajukan diri selepas ini dan menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya.

Menurut Taufik, sepanjang berada di asrama berkenaan, banyak perkara yang dia belajar termasuk kerja pertukangan dan membasuh baju.

Baginya, walaupun pernah melakukan kesalahan yang boleh dianggap besar, tetapi ia bukan bermakna dia tidak boleh berubah dan berjaya dalam hidup.

“Saya belajar banyak benda, daripada tidak tahu, sekarang saya tahu jenis-jenis kayu. Saya pandai potong kayu dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu rakannya Farhan (bukan nama sebenar) 12, adalah penghuni paling muda dimasukkan ke asrama itu.

Dia didapati bersalah mencuri motosikal sebelum diperintahkan untuk dihantar ke asrama berkenaan awal tahun lalu.

“Mula-mula ingat mesti abang-abang di sini garang, akan marah saya sebab saya kecil lagi. Tetap mereka baik. Saya sudah mula diajar kerja pertukangan dan juga kami belajar agama.

“Saya nak jadi polis, tetapi itulah, kecil-kecil dah mencuri motosikal,” katanya sambil tersenyum.

Boleh dibimbing jadi individu baik

Kanak-kanak atau remaja yang melakukan kesalahan jenayah seawal usia 10 tahun masih boleh dibentuk dan dibimbing untuk menjadi insan yang lebih baik.

Mereka tidak dianggap jahat namun kenakalan itu mungkin dilakukannya atas sifat ingin mencuba.

Namun perhatian penuh dan kasih sayang diberikan penjaga dan kakitangan Asrama Akhlak Lelaki Kempas di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini, berjaya mengubah jiwa liar anak-anak muda ini.

Pelbagai program dan inisiatif diambil bagi menyelamatkan kanak-kanak ini daripada terus hanyut termasuk memberikan latihan vokasional.

Menurut Pengetua Asrama Akhlak (Lelaki) Kempas, Mohd Baharudin Admin, pihaknya akan melihat terlebih dahulu penghuni yang ditempatkan di asrama berkenaan sama ada sesuai bersekolah atau tidak.

“Penghuni di sini ada beberapa kategori. Yang mana layak dan sesuai sekolah, kita akan sekolahkan.

“Bagi penghuni yang tidak sesuai ke sekolah, kita akan masukkan dalam program latihan disediakan di sini. Manakala, jika 16 dan 17 tahun ke atas, kita akan carikan latihan kemahiran di luar.

“Sebagai contoh, kami kini mendapat kerjasama Giatmara Parlimen Pulai. Kami tempatkan dua penghuni di sana untuk dapatkan Sijil Kemahiran Tahap Dua dalam bidang pendingin hawa,” katanya.

Beliau turut meletakkan beberapa lagi perancangan seperti memperkenalkan bidang pertanian moden kepada penghuni dan ternakan madu kelulut.

Kemasukan mereka ke asrama berkenaan adalah mengikut Seksyen 46 akta Kanak-kanak 2001 yang mana terdiri daripada kanak-kanak luar kawalan dan dimohon sendiri pihak keluarga melalui mahkamah.

Selain itu, ia mengikut Seksyen 98 akta sama iaitu masalah akhlak selepas melakukan jenayah seperti mencuri, curi kenderaan atau menceroboh.

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 6:45am
d