utama

Penyamun mati ketika bergelut

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

PENYAMUN bersenjatakan pisau dipercayai penagih dadah maut selepas bergelut dengan penghuni rumah di Kampung Lata Kekabu, Lenggong, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, suspek berusia 30-an dipercayai memecah masuk rumah yang didiami ibu tunggal berusia 30-an bersama anak lelakinya berusia 16 tahun.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati suspek bersenjatakan pisau memasuki rumah melalui pintu utama.

“Suspek dipercayai mengacukan pisau ke arah mangsa sebelum berlaku pergelutan antara suspek dengan anak mangsa.

“Anak lelaki mangsa dipercayai berjaya menjatuhkan suspek ke lantai sebelum suspek disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Lenggong,” katanya ketika dihubungi.

Ismail berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat dan punca sebenar kematian masih dalam siasatan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 5:14pm
d