utama

Anjing tumpang naik LRT

Oleh Alias Abd Rani

PENGGUNA Transit Aliran Ringan (LRT) dikejutkan dengan kehadiran penumpang tidak diundang iaitu seekor anjing liar, pagi ini.

Kehadiran haiwan itu berjaya dirakam penumpang yang menaiki pengangkutan awam sebelum tular di media sosial hingga mencetuskan persoalan siapa pemilik sebenarnya anjing berkenaan.

Bagaimanapun, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan anjing liar terbabit dipercayai sesat sebelum menceroboh Stesen LRT Miharja dan memasuki gerabak jam 8.24 pagi.

“Stesen LRT Miharja adalah stesen yang berpotensi dimasuki haiwan seperti ini.

“Perkara itu berjaya dikesan Polis Bantuan Rapid Rail dan kemudiannya mereka mengikut tren berkenaan bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

“Sebaik tiba di stesen LRT Pandan Jaya lima minit kemudian, anjing itu diusir keluar dari gerabak ke lokasi selamat.

“Rapid Rail ingin memohon maaf kepada pengguna LRT atas kebimbangan dan kesulitan dihadapi,” katanya.

Katanya, pihaknya juga berterima kasih atas kerjasama semua pihak yang sentiasa tenang tanpa berlaku kekecohan.

“Susulan kejadian ini, kami akan meningkatkan kawalan dan rondaan di semua stesen bagi memastikan perkara sama tidak berulang,” katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 8:54pm
d