utama

'Mungkin ada hikmahnya'

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

“SEMALAM (Isnin) hari yang amat sedih bagi saya apabila melihat anak hanya mampu menyentuh batu nesan ibu kandungnya,” luah Zohaidah Sidin, 56, ibu angkat kepada Ahmad Farhan, yang dibela sejak 25 tahun lalu.

“Sampai sekarang, air mata saya masih mengalir mengenangkannya, rasa amat bersalah.

“Doa saya sekarang semoga ayahnya dapat buka mata dan melihat anaknya, dan Farhan dapat mendengar suara dan peluk ayah kandungnya,” kata Zohaidah lagi.

Zohaidah dihubungi Harian Metro memberitahu, bapa kandung Farhan, Abdul Rahman, masih ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU), Hospital Kuantan, sejak Jumaat.

Menurutnya, doktor yang merawat Abdul Rahman sudah menghentikan rawatan ‘intubate’ (menidurkan pesakit dengan ubat tidur).

“Doktor memberitahu, jantungnya ada tiga ‘blockage’. Ubat tidur sudah dihentikan dan sekarang menunggu dia sedar sendiri.

“Malangnya sampai sekarang, belum ada tanda-tanda dia akan sedar,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan reaksi Farhan susulan kisah ini gagal kerana dipercayai masih dalam keadaan terkejut dan bersedih.

Dia juga dipercayai sudah pulang ke Singapura pada hari ini kerana perlu mengikuti kursus bermula esok dan dijangka pulang semula ke tanah air untuk bertemu kembali dengan keluarga kandung selepas tamat kursus.

Bagaimanapun di ruangan komen artikel mengenai kisah itu Facebook rasmi Harian Metro, melalui akaun rasmi Facebook dipercayai milik Ahmad Farhan, 28, dia sempat menulis luahan hatinya untuk tatapan pembaca.

“Assalamualaikum. Terima kasih pihak wartawan kerana menyiarkan cerita ini dan minta maaf juga kerana menolak untuk diwawancara kerana ingin menghormati dan menjaga hati ramai pihak.

“Di sini saya menghasratkan (meluahkan) rasa syukur. Sesungguhnya peraturan Allah itu sangat indah. Mengapa ambil masa 25 tahun. Semua itu mungkin ada hikmahnya.

“Selama 25 tahun hidup juga saya bersyukur kerana dijaga dan diberi kasih sayang yang secukupnya daripada seluruh keluarga angkat sebelah ibu (Melaka) dan sebelah bapa (Sabah) hingga tidak pernah terfikir yang saya ini bukan darah daging mereka,” tulisnya.

Dia turut meluahkan rasa gembira dapat bertemu semula dengan adik-beradik kandungnya di Kuantan serta bapa kandung yang sedang sakit.

Selain itu, menurutnya, dia sempat menziarahi kubur ibu kandung di sana dan berharap pihak netizen tidak mengeluarkan kata-kata negatif terhadap keluarga angkat, mahupun keluarga kandungnya.

“Perjalanan hidup kita semua berbeza, pandanglah setiap apa yang berlaku itu dari sudut positif. Terima kasih kepada mereka yang tidak putus memberi kata-kata motivasi kepada saya.

“Jodoh dan maut itu rahsia Allah. Sentiasa bersyukur dan reda. Alhamdulillah... Semuanya dipermudahkan,” tulisnya turut mendapat reaksi positif daripada pembaca.

Harian Metro pada Isnin melaporkan kisah Zohaidah yang akhirnya mendedahkan rahsia selama 25 tahun mengenai status Farhan yang diserahkan oleh ibu bapa kandungnya sebagai anak angkat sejak bayi.

Berita berkaitan

Rahsia 25 tahun terlerai

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 10:01pm
d