utama

5 maut dirempuh wanita Malaysia di Songkhla

Oleh Mohd Rizal Abdullah

LIMA pemotong rumput maut, manakala seorang lagi parah apabila dirempuh kereta dipandu rakyat Malaysia di Lebuhraya Asia di Khuhatai, Rattaphum dekat Songkhla, petang hari ini, lapor Bangkok Post.

Dalam kejadian 3 petang itu, semua mangsa berehat selepas memotong rumput di kawasan itu sebelum dirempuh Perodua Myvi dipandu wanita itu.

Ketua Penyiasat Balai Polis Rattaphum Thewa Daoruang berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Chaikaew, 53; Witchaya Thongma, 51; Somporn Sawatdiraksa, 54; Theerawut Mongkhol, 37; dan Wirat Semkhai, 34, manakala Bamreur Ketmoon, 56, dilaporkan parah.

Menurut laporan itu, kereta berkenaan dipandu wanita berusia 31 tahun dari Kelantan dan dinaiki dua penumpang wanita lain, juga rakyat Malaysia.

Ketiga-tiga mereka dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan dan siasatan mendapati mereka dalam perjalanan dari Krabi menuju ke Hat Yai.

Hasil siasatan mendapati pemandu itu melanggar sesuatu mengakibatkan kenderaan dipandu hilang kawalan lalu merempuh kumpulan pekerja terbabit.

Kejadian itu juga sudah dilaporkan kepada Kedutaan Malaysia di Songkhla.

Bagaimanapun, usaha Harian Metro untuk mendapatkan kenyataan kedutaan Malaysia setakat ini masih gagal.

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 10:37pm
d