utama

Luqman 'pukau' Kim Swee

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Aksi memukau penyerang buruan kelab liga satu Jepun (J1) Cerezo Osaka, Luqman Hakim Shamsudin pada Kejuaraan B-18 Persekutuan Bolasepak ASEAN di Ho Chi Minh, Vietnam ketika ini turut mencuri perhatian pengendali skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee.

Kepantasan dan ketajaman dalam menyempurnakan setiap peluang nyata memikat Kim Swee yang berhasrat untuk menguji penyerang kelahiran Kelantan itu bersama skuad B-22 bagi menghadapi temasya Sukan SEA di Filipina, hujung tahun ini.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada prestasi semasa Luqman yang mana selain pada Kejuaraan AFF, anak buah Brad Maloney turut mengharungi kempen kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dari 2-10 November ini di Kemboja.

“Luqman anda tahu mempunyai sentuhan penyudah yang cukup baik dan kelajuan. Saya percaya dia boleh bermain pada peringkat lebih tinggi.

“Tapi biar Luqman fokus pada kejohanan ini (B-18 AFF) dahulu dan lepas itu mereka ada kelayakan B-19 AFC yang lebih penting.

“Jadi untuk Luqman disenaraikan terpulang kepada prestasi semasa dalam pasukan B-18 dan bukan sahaja di saingan AFF, malah akan dinilai pada kempen AFC nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Luqman, 17, yang bakal menjadi pemain kedua negara beraksi di Liga Jepun selepas penyerang kebangsaan, Hadi Fayyadh Abdul Razak bersama kelab Fagiano Okayama di J2 mempamerkan aksi menakjubkan ketika membantu Malaysia membenam Australia 3-0 pada aksi ketiga Kejuaraan AFF kelmarin.

Dia meledak dua gol menerusi larian deras dari tengah padang selain memperagakan skil individu menarik buat memperdayakan pertahanan Australia yang nyata gagal mengekang tonggak dari produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu.

Jelas Kim Swee, beliau yakin skuad kendalian Maloney mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan trofi dimenangi ketika di bawah bimbingan Bojan Hodak apabila skuad negara menewaskan Myanmar pada aksi final 4-3 di Surabaya, Indonesia tahun lalu.

“Kalau konsisten seperti yang ditunjukkan dengan pasukan Australia saya tak nampak sebarang halangan.

“Apa yang penting saya selalu tekankan pemain harus kekal fokus dispilin dan tidak mengambil mudah. Saya percaya kita mempunyai peluang cukup baik,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 5:31am
d