utama

Dua bangsa berbeza tutur bahasa Mandarin

Oleh Alias Abd Rani

“PELAJAR terbabit pernah belajar di sekolah cina, kebetulan saya mengajar bahasa Mandarin, jadi kesempatan itulah kami berkomunikasi menggunakan bahasa ini,” kata Nur Aiesyah Abdul Halim, 26.

Pensyarah Kolej Vokasional Kulim (KVT) itu menarik perhatian netizen apabila video dia berkomunikasi dalam bahasa Mandarin dengan pelajar India, tular di laman sosial, baru-baru ini.

Nur Aiesyah berkata, video berkenaan dirakam rakan sejawatnya ketika sedang memberi tunjuk ajar berkenaan tugasan perlu disiapkan pelajar terbabit.

“Saya tidak tahu rakan merakam video kerana ketika itu, saya sibuk memperbetulkan kesalahan dilakukan pelajar saya.

“Lagipun, saya memang mengajar bahasa Mandarin di KVT selepas mengikuti pembelajaran bahasa itu di Beijing, China tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia, selama lima tahun.

“Sesuailah dengan subjek diajar, saya akan berkomunikasi menggunakan bahasa ini dengan semua pelajar bagi membolehkan mereka fasih,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Video berdurasi 0.45 saat menunjukkan pensyarah dari Kluang, Johor sedang menunjukkan cara membuat tugasan.

Perbualan mereka dilihat selamba dan pelajar terbabit seperti tidak kekok ketika membalas percakapan pensyarahnya.

Sehingga kini, video terbabit sudah ditonton lebih 190,000 pelayar, hampir 10,000 ulang ciapan serta lebih 10,000 mendapat tanda suka.

Malah, tidak kurang pula kalangan netizen memuji perbualan mereka antaranya: ‘@imdinho77, tulahh. aku act bangga bila cina dgn india borak guna bahasa Melayu. terasa harmoni.

‘@__lil_ pula membalas, Boleh masukkan bahasa Cina/Tamil dlm semua sekolah kebangsaan tak? Bagus utk semua anak bangsa’.

Menurut Nur Aiesyah, walaupun berbangsa Melayu, dia gembira kerana berpeluang mempelajari bahasa Mandarin terutama apabila berada di luar.

“Biasanya kalau saya ke pasar, saya selalu dengar dan faham perbualan sesama mereka.

“Jadi, ia memberi kelebihan kepada kita dan tidak salah mempelajari banyak bahasa,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 8:32pm
d