utama

Rezeki bakal pengantin - Ain Edruce

Oleh Norhayati Nordin

SEJAK melangsungkan pertunangan pada 22 Jun lalu, rezeki pengacara dan pelakon tinggi lampai, Ain Edruce, 28, semakin bertambah.

Jadual kerja yang padat juga membuatkan Ain kurang masa bertemu bakal suaminya, Amirul Hafiz, 26, yang juga seorang ahli perniagaan dan pelumba kereta.

Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce berkata, disebabkan kesibukan kerja dia kini jarang bertemu tunang tercinta.

“Selepas dua bulan bertunang, saya jarang dapat bertemu Amirul kerana masing-masing sibuk bekerja. Bagaimanapun, kami sering berhubung menerusi telefon dan ia tetap membuatkan kami rapat kerana selalu berkomunikasi,” katanya.

Ain berkata, dia bersyukur rezeki dalam bidang pengacaraan tidak pernah putus buat masa ini.

“Mungkin inilah yang dinamakan ‘rezeki bakal pengantin’. Saya sangat bersyukur Allah SWT murahkan rezeki ini dalam usaha mengumpulkan kewangan untuk persediaan majlis perkahwinan tidak lama lagi,” katanya.

Pelakon drama Kekasih Paksa Rela ini berkata, dia memang sukar menolak tawaran kerja yang datang kerana sentiasa menganggap ia rezeki.

“Sebagaimana yang sering saya katakan, pembabitan utana dalam karier seni kerana minat. Saya berusaha sedaya-upaya untuk dikenali dengan bakat.

“Saya cekalkan hati mencuba setiap peluang yang datang dan bersyukur apabila segala-galanya mula membuahkan hasil. Bakat saya semakin diterima baik,” katanya.

Ditanya penerimaan tunangnya dengan kesibukan itu, Ain berkata, dia gembira Amirul sangat memahami. Malah, kadang-kadang Amirul turut menemaninya.

“Amirul seorang yang pemalu. Jadi, dia akan ambil masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja saya. Namun, dia tidak pernah merungut.

“Saya pula suka mengajaknya menemani ke set penggambaran sekali-sekala supaya dia tahu cara kerja saya,” katanya.

Ain berkata, dia tidak terfikir menunjuk bahagia di hadapan khalayak apabila mengusung tunangnya ke sana sini. Lagipun, bukan selalu tetapi hanya sesekali.

Ain yang pernah membintangi sitkom Jawatankuasa Kampung Kalut musim keempat (JKKK4) berkata, kini dia memberanikan diri menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program Raja Lawak Junior (RLJ) di Astro.

Katanya, dia seronok menonton aksi kanak-kanak dan remaja membuat lawak jenaka kerana kebanyakan memang berbakat dan kreatif dalam persembahan.

SEDIA BERGELAR ISTERI

Sedar masa berlalu begitu pantas, Ain mengakui masih banyak perlu dilakukannya untuk persiapan perkahwinan yang akan berlangsung Disember ini.

Ain berkata, kalau ikutkan sibuk bekerja, memang persiapan perkahwinannya tak mampu diuruskan. Namun, keluarga banyak membantu dalam pelbagai aspek.

“Alhamdulillah, ibu bapa, abang dan kakak saya banyak membantu. Mereka sanggup membahagi tugas untuk memastikan persiapan majlis lancar.

“Saya pun boleh bekerja dengan tenang. Setakat ini, fikiran tak kusut lagi. Persiapan banyak sudah diuruskan keluarga dan saya amat berterima kasih kepada mereka,” katanya.

Mengulas debaran untuk bergelar isteri, Ain berkata, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melangkah ke fasa kehidupan suami isteri serta berkeluarga.

“Usia saya makin meningkat. Jadi, takkanlah belum bersedia lagi dan hanya fokus pada karier semata-mata. Tidak ada yang nak saya kejarkan, kini masa untuk memulakan kehidupan berkeluarga. Apatah lagi, saya sudah dipertemukan dengan calon suami yang sesuai,” katanya.

Ain berkata, untuk persiapan majlis perkahwinannya yang akan berlangsung beberapa bulan lagi, dia juga tidak meletakkan harapan untuk ditaja.

Katanya, dia lebih suka menguruskan segala persiapan perbelanjaan perkahwinan sendiri kerana selesa dan akan sangat berpuas hati.

“Apabila mengeluarkan wang sendiri untuk menikmati hari bersejarah dalam hidup iaitu berkahwin, saya yakin akan lebih puas kerana tidak terikat dengan sebarang komitmen persetujuan penaja,” katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 6:01am
d