utama

TMJ iktiraf jasa Teong Kim

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Ketika bekas pemain, jurulatih dan segelintir tokoh bola sepak tanah air menyerang bertubi-tubi dan mengeluarkan kenyataan untuk menjatuhkan kredibiliti Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim pula menghargai sumbangan jurulatih itu dalam memulihkan bola sepak negara.

Menerusi kenyataan dan gambar di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers (JST) semalam, bekas pengendali akademi Bayern Munich itu dan Tunku Ismail duduk bersama bagi membincangkan mengenai pembangunan bola sepak.

Dalam status berkenaan, JST seolah-olah menyindir pihak tertentu yang tidak senang dengan sikap terus terang dalam mengeluarkan pendapat untuk memperbaiki bola sepak negara.

“Kami berdua adalah mangsa kepada orang yang tidak tahu mengenai bola sepak. Kami selalu mengatakan perkara yang benar.

“Kami benar-benar sayangkan bola sepak, kami tidak berdiplomasi, kami terlalu berterus-terang.‘The Bad Guys’,” kata kenyataan di JST itu.

Sementara itu, Teong Kim mengakui bertemu Tunku Ismail di Johor Bahru kelmarin, namun ia hanya perbincangan biasa mengenai pembangunan remaja, sekali gus menolak khabar angin dirinya bakal menyertai skuad Harimau Selatan.

Mengenai kempen Hashtag atau tanda pagar #SaveLTK yang dilancarkan peminat bola sepak tempatan sejak minggu lalu, beliau berkata, mereka cuba menyampaikan sesuatu yang jujur.

Beliau yang akan pulang ke pangkuan keluarganya di Jerman sebaik kontraknya berakhir 31 Oktober depan mengakui terharu dengan inisiatif peminat termasuk anak didiknya di AMD yang turut menaikkan tanda pagar di laman sosial masing-masing.

Jelasnya, beliau tidak pernah memaksa atau meminta peminat untuk melakukannya, namun bekas jurulatih akademi Bayern Munich selama 12 tahun itu tahu penyokong sudah bijak menilai sendiri perubahan yang berlaku dalam ekosistem bola sepak negara sejak pelancaran Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) 2014.

“Saya menghargainya. Mereka sentiasa ada bersama saya walaupun ketika dalam keadaan sukar. Sebagai jurulatih pasukan pembangunan, kemungkinan untuk dilupakan memang ada.

“Jadi, saya tidak kisah kerana sudah melakukan tugas saya di sini sepenuhnya. Apabila seseorang pemain muda mengingati sumbangan jurulatih, itu sudah cukup baik.

“Saya tidak menyuruh mereka berbuat demikian. Sebelum ini pun, bekas pelatih saya di Bayern Munich Thomas Muller pun berbuat demikian walaupun ketika itu dia sudah bergelar bintang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Menerusi laporan akhbar ini pada 9 Ogos lalu, Majlis Sukan Negara (MSN) mendedahkan pihaknya sudah mempunyai calon pengganti Teong Kim sebagai Pengarah Teknikal AMD dan ia akan dibincangkan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada mesyuarat bulan depan.

Bagaimanapun, sebaik laporan berkenaan disiarkan, ia terus mendapat perhatian jutaan peminat bola sepak tanah air apabila ramai yang mendesak supaya Teong Kim dikekalkan.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 6:01am
d