utama

MAIP tidak halang Dr Zakir Naik berdakwah

Oleh Mohamad Hussin

“TIDAK sempurna iman seseorang itu sekiranya tidak mengasihi umat Islam lain kerana dalam agama kita diseru membuat kebaikan demi keamanan dan perpaduan.

“Sebagai negara Islam, kenapa kita tidak boleh menyampaikan ajaran Islam sedangkan ia diperintah Allah SWT manakala Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruhnya,” kata Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Beliau mengulas mengenai isu kontroversi membabitkan penceramah bebas, Dr Zakir Naik mengenai tindakan segelintir pihak mahu dia diusir serta merta dari negara ini kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menghina penganut agama Hindu.

Katanya, agama Islam bukan agama memecahbelahkan perpaduan sebaliknya mengajak kepada kebaikan dan keharmonian.

“Sebagai seorang pendakwah, Dr Zakir mempunyai kelebihan tersendiri kerana dengan dakwahnya mampu menarik ramai bukan Islam memeluk Islam.

“Ia menyebabkan orang bukan Islam marah dan tidak berpuas hati dengan tindakannya. Kenapa kita perlu menghalang dia berdakwah untuk menyebarkan Islam kerana satu kerugian sekiranya menghalang dia menyebarkan syiar Islam.

“Saya tidak setuju dengan segelintir pihak mahu mengusir Dr Zakir kerana dia bukan memecahbelahkan perpaduan, sebaliknya menerangkan kebenaran Islam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik berkata, Malaysia tidak boleh mengusir Dr Zakir kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah kontroversi itu.

Abdul Rahman berkata, hanya ajaran agama Islam saja diterima Allah SWT berbanding agama lain di dunia.

“Mereka yang mempunyai ilmu agama sekiranya tidak menyebarkan kebenaran mengenai Islam dianggap berdosa dan dilaknat Allah SWT.

“Islam juga tidak pernah memaksa mana-mana pihak untuk memeluk Islam kerana ia agama berteraskan kepada kepercayaan dan keyakinan dari hati seseorang itu,” katanya.

Menurutnya, Pahang tidak pernah menyekat Dr Zakir untuk berdakwah di negeri itu asalkan mengikut syarat ditetapkan Majlis Agama Islam Pahang (MAIP).

Sementara itu, pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, kerajaan perlu mengambil serius isu perpaduan kerana ia ibarat sudah ‘mati’ sejak tahun lalu.

“Perpaduan kita sudah tercabar dan jika dibiarkan akan menjadi lebih parah. Lebih malang lagi apabila menteri Kabinet sendiri mencemarkan soal perpaduan ini apabila meminta Perdana Menteri mengusir Dr Zakir dari Malaysia.

“Kebebasan suara memang bagus tetapi sehingga menggugat keharmonian kaum lain ia sudah dianggap keterlaluan. Kerajaan kena kawal dan mengambil tindakan kepada mereka yang mencetuskan isu perkauman,” katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 6:40pm
d