utama

Amah 'cabut' majikan serabut

Oleh Skuad Khas Harian Metro

KUALA LUMPUR: Dua kali rugi! Itu istilah tepat bagi menggambarkan nasib malang majikan yang menghadapi masalah pembantu rumah asing atau amah lari dari rumah yang sudah berlarutan sekian lama.

Mana tidaknya, majikan bukan saja berdepan kerugian bayaran membawa masuk amah sekitar RM12,000 hingga RM18,000 seorang sebaliknya turut dikenakan denda RM500 oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Situasi itu boleh diibaratkan, sudah jatuh ditimpa tangga buat majikan yang nyata mengalami kerugian berganda tanpa pembelaan wajar sedangkan ada segelintir amah melarikan diri dengan meninggalkan bayi atau kanak-kanak di rumah tanpa jagaan.

Itu tidak termasuk lagi kes amah mencuri barangan berharga milik mangsa.

Keseriusan kes melarikan diri membabitkan amah didedahkan sumber JIM kepada Skuad Khas Harian Metro yang mengatakan agensi berkenaan merekodkan 30,560 kes sejak 2015 hingga Julai 2019.

Katanya, onar itu menyebabkan majikan iaitu rakyat Malaysia mengalami kerugian lebih RM367 juta sepanjang tempoh berkenaan.

“Bukan sikit-sikit rugi. Ini kalau kiraan RM12,000 seorang (kos), rakyat Malaysia dah rugi RM367 juta. Ada agensi pembantu rumah asing mengenakan bayaran sehingga RM18,000,” katanya.

Sumber itu berkata, 30,560 kes yang direkodkan JIM bukanlah data tepat bagi menggambarkan fenomena amah lari dari majikan.

“Masalah ini lebih serius sebenarnya. Kita percaya jumlah sebenar amah lari lebih tinggi kerana ada majikan yang tidak membuat laporan. Ia mungkin disebabkan keengganan mereka dikenakan denda oleh JIM. Kerugian sebenar dari tahun 2015 hingga kini mungkin bernilai setengah bilion ringgit,” katanya.

Memperincikan perkara berkenaan, sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa warga Indonesia mencatatkan kes melarikan diri daripada majikan paling tinggi iaitu sebanyak 21,961.

“Diikuti warga Filipina sebanyak 5,816 kes, Kemboja (1,272), Sri Lanka (483), China (360), Laos (339), India (165), Vietnam (119), Thailand (25), Myanmar (7), Nepal (6), Bangladesh (5) dan Pakistan (2),” katanya.

Menurutnya, kebanyakan kes amah lari turut didalangi agensi pembantu rumah asing yang bersekongkol dengan sindiket.

“Kita percaya terdapat pembabitan sindiket dalam perkara berkenaan. Ini kemungkinan terbesar yang berlaku kerana ada kes dilaporkan amah lari selepas bekerja tidak sampai 24 jam atau seminggu,” katanya.

Katanya, pelbagai alasan diberikan amah kepada pihak berkuasa selepas ditangkap dalam serbuan yang dilakukan.

“Majikan garang, tidak bebas, cinta dan tidak mahu pulang ke negara asal selepas tamat kontrak,” katanya.

Tambahnya, JIM juga bimbang amah yang melarikan diri daripada majikan itu menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang.

“Disebabkan itu, kita selalu melakukan operasi di seluruh negara,” katanya.

Amah yang melarikan diri akan disenaraihitam JIM selepas majikan melaporkan kes berkenaan.

Mereka boleh ditahan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 5:10am
d