utama

Tangan Iron Man

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

KUALA NERUS: “Walaupun tukul khas dipanggil tangan Iron Man sudah berusia hampir 30 tahun, ia masih berjasa dalam membantu saya mencari rezeki,” kata pengukir kayu, Wan Harun Wan Ahmad, 52, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Duyong Besar, di sini, semalam.

Dia yang dilahirkan cacat tangan dan kaki kiri berkata, tangan Iron Man itu adalah hadiah daripada pembuat bot terkenal, Abdullah Muda dari Kampung Pulau Duyong pada 1990.

“Ketika itu, saya bekerja dengan Abdullah membuat ukiran dalaman sebuah bot seorang pelanggan berbangsa Inggeris.

“Mungkin kerana simpati melihat kesusahan saya mengukir dalam keadaan yang tidak sempurna mendorong dia mencipta tangan berbentuk tukul itu.

“Alhamdulillah, saya mampu menghasilkan ratusan barangan ukiran kayu seperti bingkai jam, bingkai cermin dan ukiran seni khat kayu menggunakan tukul khas itu,” katanya.

Wan Harun yang juga bekas atlet sukan renang paralimpik berkata, dia mempelajari kemahiran itu melalui program di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama enam bulan di Kota Bharu, Kelantan pada 1986.

“Saya kemudian menyambung pengajian sama di Pulau Kerengga, Marang selama empat tahun dan mula bekerja dengan orang selama beberapa tahun sebelum mengambil tempahan sendiri.

“Biasanya, saya menerima dua hingga tiga tempahan yang berharga antara RM90 hingga RM100 pada setiap bulan namun sejak akhir-akhir ini tempahan semakin berkurangan.

“Sekarang nak dapatkan satu tempahan pun payah berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan saya kerap menyertai program berkaitan seni yang dianjurkan dan terbaru di Festival Kenyir 2019.

“Selepas bersara daripada sukan paralimpik, mengukir kayu menjadi sumber pendapatan saya walaupun tidak dinafikan pendapatan diterima tidak menentu,” katanya yang turut mendapat bantuan RM400 daripada JKM.

Sementara itu, Pengurus Bahagian Seni dan Kraf Duyong Art Komuniti, Mohd Saufian Othman kagum dengan kemahiran dimiliki Wan Harun.

“Walaupun dia serba kekurangan, tetapi dia mampu menghasilkan seni ukiran berkelas antarabangsa dan sebagai aktivis seni di Duyong Art Komuniti, kami berasa berbesar hati sekiranya bakat dimiliki Wan Harun itu diketengahkan dalam memperjuangkan seni ukir Terengganu.

“Saya difahamkan Wan Harun hanya menyiapkan tempahan diterima di hadapan rumahnya tanpa mempunyai bengkel bersesuaian dan berharap pihak berkaitan seperti Jabatan Pelancongan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dapat membantu Wan Harun,” katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 5:31am
d