utama

Bukan watak tipikal

Oleh Syanty Octavia Amry

SELEPAS dua tahun tidak tampil dengan filem, pelakon cantik, Nur Fazura Sharifuddin, 35, berharap filem terbaharu lakonannya, Dendam Pontianak mendapat tontonan ramai.

Dalam filem yang bakal ditayangkan pada 12 September ini, Fazura membawa watak sebagai puntianak bernama Mina yang muncul untuk menuntut janji dan membalas dendam.

Fazura berkata, watak puntianak dijayakannya bukanlah tipikal yang pernah ditonton sebelum ini. Sebaliknya, filem arahan Glen Goei dan Gavin Yap itu adalah watak segar yang mungkin belum pernah dipertontonkan kepada umum.

“Saya tertarik dengan jalan ceritanya kerana ia menampilkan watak seorang wanita yang kuat. Ketika Glen sendiri menawarkan saya watak yang manakah saya mahu ambil sama ada isteri kepada Remy Ishak atau puntianak, saya pilih puntianak.

“Tidak susah membawakan watak ini kerana filem lakonan saya sebelum ini juga lebih kepada wanita yang kuat.

“Tidak banyak filem yang mengetengahkan kisah wanita kuat seperti ini. Mina bukan hanya puntianak tetapi dia wanita yang kuat dan berusaha mendapatkan semula haknya apabila janji tidak ditepati,” katanya.

Isteri kepada pelakon Fattah Amin ini berkata, dunia sekarang sudah berubah dan tidak salah menampilkan wanita sebagai hero.

“Kita sering meraikan Hari Wanita, jadi tidak salah untuk mengangkat wanita sebagai hero seperti filem ini juga Dendam Pontianak adalah kisah wanita bernama Mina dan dia adalah penggerak cerita ini tetapi Remy tetap hero utama,” katanya.

Dalam pada itu, Fazura juga tidak mahu disamakan dengan watak puntianak lakonan Maya Karin sebelum ini.

Menurut Fazura, puntianak lakonan Maya punya kelebihan dan keistimewaan tersendiri begitu juga watak lakonannya.

“Saya tidak merujuk mana-mana watak puntianak untuk melakonkan watak Mina kerana mahukan sesuatu yang lebih segar dan mengikut interpretasi sendiri dan pengarah.

“Puntianak lakonan Maya ada kelebihannya sendiri begitu juga dalam cerita ini, saya punya cara sendiri malah sangat kagumi Glen kerana dia ada cara berbeza untuk menyampaikan kisah puntianak ini,” katanya.

Selain Fazura dan Remy, Dendam Pontianak turut menampilkan antaranya Hisyam Hamid, Shenty Feliziana, Nadia Aqilah, Namron, Wan Hanafi Su dan Nadiah M Din.

Tidak hanya di Malaysia, filem ini juga akan ditayangkan terlebih dulu di Singapura bermula 29 Ogos ini.

Sementara itu, Fazura berkata, dia mahu lari daripada watak wanita teraniaya antara sebab mengapa dia jarang muncul di TV mahupun layar skrin.

Baginya, cukuplah sebelum ini dia membawakan watak cinta tiga segi, wanita dipukul, dimarah dan ditindas.

“Saya mahu fokus kepada cerita yang mengangkat wanita, saya mahu elak watak wanita teraniaya. Wanita sekarang sudah kuat malah kawan perempuan saya juga banyak yang kuat.

“Tidak perlu untuk sering tampil di TV atau layar skrin jika jalan cerita yang ditampilkan tiada kualiti. Banyak tawaran berlakon tetapi belum bertemu skrip yang bagus seperti saya mahukan,” katanya.

FOKUS HASILKAN ALBUM KEDUA

Selain mengehadkan lakonan bagi mendapatkan naskhah yang bagus, Fazura juga tidak duduk diam dalam mencari material baharu untuk tampil dengan album kedua tidak lama lagi.

Masih mengekalkan komposer dari Indonesia, Fazura mengakui selesa bekerjasama dengan mereka.

“Saya dalam proses mencari material untuk tampil dengan album baharu, insya-Allah saya akan tampil dalam album fizikal lagi.

“Senang bekerjasama dengan komposer dari Indonesia kerana itu saya masih mengekalkan mereka untuk album kedua ini.

"Konsep lagu juga mungkin lebih kurang sama dengan album pertama kerana ramai peminat suka dengan genre saya tampilkan,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai tawaran berlakon di Indonesia, Fazura berkata, dia masih menerima tawaran berlakon dari sana tetapi buat sementara ini mahu fokus terhadap filem Dendam Pontianak.

“Tawaran berlakon masih diterima, tetapi baru-baru ini ada tiga tawaran berlakon filem seram dan saya tangguhkan dulu kerana mahu fokus untuk filem ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 6:00am
d