utama

Trauma anak disentuh

Oleh Faliq Lajim

PENIAGA wanita trauma selepas bayinya berusia lima bulan dimasukkan ke hospital berikutan jangkitan kulit dipercayai akibat disentuh ramai orang.

Munira Suraya Muzais, 26 berkata, anak keduanya, Eldryna Saffiya Mohd Sobri menunjukkan perubahan apabila bengkak di mata, 2 Ogos lalu.

“Pada mulanya, saya ingat ia mungkin disebabkan gigitan semut atau alahan ubat tahan sakit (akibat ciri birit dan muntah) yang saya makan memandangkan Eldryna masih menyusu badan

“Keesokan harinya, saya dan suami membawa Eldryna ke klinik. Namun, doktor menyarankan kami untuk membawa anak kami ke hospital.

“Kami kemudiannya membawa anak kami ke unit kecemasan di hospital swasta di Seremban. Doktor kemudiannya merawatnya sebelum membenarkan Eldryna pulang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, sehari selepas itu, keadaan Eldryna semakin teruk apabila kulitnya mengelupas di sekitar bahagian mulut selain tidak boleh membuka mata.

“Waktu itu, Eldryna sudah menangis tidak henti selain sering menyentuh kulit wajahnya sebelum kami membawa ke hospital yang merawatnya sebelum ini.

“Masa itu, saya sudah tidak kisah apabila orang melihat saya meraung di hospital itu.

“Saya rasa serba salah sangat masa itu sebab saya ingat Eldryna sakit sebab saya,” katanya.

Munira Suraya berkata, hospital terbabit kemudiannya merujuk anaknya ke pakar pediatrik selepas terdapat cecair serta darah seperti melecur di muka Eldryna.

“Saya sangat terkejut apabila dimaklumkan oleh doktor ia disebabkan jangkitan kulit iaitu sindrom impetigo dan scalded skin. Bukan disebabkan alahan ubat.

“Doktor memaklumkan ia mungkin disebabkan ada orang yang menyentuh Eldryna tidak menjaga kebersihan selain mempunyai sakit kulit memandangkan sistem imun bayi lemah,” katanya.

Akibat daripada itu, Eldryna terpaksa ditahan di hospital terbabit selama lima hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada 9 Ogos lalu.

Katanya lagi, dia kini lebih berhati-hati kepada mana-mana individu yang mahu menyentuh anaknya itu.

“Saya harap kisah anak saya ini dijadikan pengajaran kepada orang ramai terutama ibu bapa yang mempunyai bayi untuk sentiasa berhati-hati,” katanya.

Kisah Eldryna itu tular di media sosial selepas, Munira Suraya memuat naik status bersama gambar di laman Facebook miliknya dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 6:07pm
d