utama

Dwan Hamid dakwa difitnah

Oleh Hamzah Osman

PELAKON Dwan Hamid membuat laporan polis bagi membersihkan namanya selepas mendakwa seorang pengguna Facebook memfitnah dan memburukkan dirinya dalam media sosial.

Dwan atau nama sebenar Muhammad Ridzuwan Shahul Hamid, 28, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada 11.44 pagi, semalam.

Difahamkan, pelakon itu bersama beberapa rakannya berada di pulau itu sejak Selasa lalu bagi menjalani penggambaran filem Coast Guard bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Tanah Kubur arahan Rashid Sibir itu turut memuat naik laporan polis dibuatnya di akaun Facebook miliknya 2.45 petang semalam.

Menerusi laporan polis itu, Dwan berkata, dia bersama beberapa rakan tiba di pulau ini pada Selasa lalu untuk menjalani penggambaran filem Coast Guard.

“Pada masa sama saya menerima beberapa mesej dari Facebook dan WhatsApp daripada rakan mengenali diri saya juga daripada netizen tentang satu posting viral dari ‘group’ Langkawi Sana Sini yang sudah memviralkan kisah fitnah di post oleh pemilik Facebook Pookbb Best tanpa mengetahui tujuan dan punca asal dibuat beliau.

“Dan saya anggap posting itu memfitnah satu cerita tidak benar tanpa usul periksa yang bertujuan memburukkan dan menjatuhkan kerjaya saya sebagai seorang artis juga peniaga di dalam group berkenaan untuk menarik pandangan dan perhatian buruk netizen terhadap diri saya,” katanya dalam ‘posting’ pada laman Facebook beliau.

Beliau berkata, laporan polis itu bertujuan melindungi keselamatan dirinya dan rakannya yang mungkin disalah anggap oleh netizen, selain meminta pihak berkuasa melakukan tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada pelakon itu.

“Ya, polis ada menerima laporan daripada pelakon itu, semalam,” katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 11:35pm
d