utama

Kejamnya...

Oleh Muhammad Apendy Issahak

MAYAT bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui tersangkut dalam Sungai Dipang berhampiran Kampung Sahom, Kampar, seorang penduduk kampung yang mandi di sungai terbabit, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, bayi cukup sifat itu ditemui masih bertali pusat dengan separuh bahagian badannya terendam dalam air sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, berkemungkinan bayi berkenaan baru dilahirkan sebelum dibuang ke dalam sungai terbabit.

“Namun tidak dapat dipastikan tempoh sebenar kelahirannya dan kita perlu tunggu laporan bedah siasat dibuat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Siasatan awal mendapati, bayi itu mungkin dihanyutkan arus deras sebelum ditemui tersangkut di kawasan cetek sungai berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, polis sudah mengambil keterangan beberapa saksi dan penduduk yang menemui mayat bayi berkenaan untuk membantu siasatan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Sementara itu, penduduk yang menemui mayat bayi berkenaan, Mohd Nurul Aza Khalit, 34, berkata pada awalnya dia menyangka bayi berkenaan adalah patung.

“Ketika berada di tebing sungai, saya terlihat satu objek menyerupai bayi berhampiran tebing sungai dalam keadaan mengiring dengan separuh badan terendam dalam air.

“Pada mulanya saya sangkakan itu patung, namun sebaik menghampirinya barulah jelas ia mayat bayi masih bertali pusat dan beruri dengan keadaan tubuhnya pucat, namun tak nampak sebarang kesan luka,” katanya.

Terkejut dengan penemuan itu, dia kemudian menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai kejadian.

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 8:03pm
d